STEPHANIE Heaps. FOTO Polis Greater Manchester
STEPHANIE Heaps. FOTO Polis Greater Manchester
Agensi

London: Bekas pegawai penjara yang menyembunyikan hubungan cinta dengan pembunuh akhirnya turut dijel, selepas detektif mendedahkan hubungan pasangan itu dan gambar perkahwinan mereka yang disunting dengan menggunakan Kecerdasan Buatan (AI), lapor portal Independent.

Stephanie Heaps, kini dikenali sebagai Stephanie Ramsden, tidak mengisytiharkan bahawa dia mempunyai hubungan dengan banduan kes bunuh Leon 'Layton' Ramsden, 35.

Mereka dilaporkan menjalin hubungan ketika wanita itu berkhidmat di penjara HMP Wymott di Leyland, Lancashire di England.

Wanita itu kemudian menyertai Polis Greater Manchester sebagai konstabel polis di Bolton, dan ketika itu, dia tidak mengisytiharkan sebarang kaitan dengan penjenayah.

Tetapi siasatan Polis Lancashire mendapati dia mempunyai kaitan dengan kumpulan jenayah terancang yang dikaitkan dengan Ramsden.

Kumpulan itu terbabit dalam pengubahan wang haram, pengedaran dadah dan konspirasi untuk merompak di premis di St Helens pada November 2019.

Pasangan itu berkahwin selepas Heaps meninggalkan Polis Greater Manchester. Imej pelik yang dihasilkan oleh AI bagi pasangan yang mengikat pertunangan itu, disiarkan di media sosial.

Pendakwa raya, Alan Richardson berkata, Heaps tahu bahawa tindakannya menimbulkan konflik kepentingan yang serius.

Menurut Independent, Heaps dijatuhi hukuman empat tahun dan tiga bulan di Mahkamah Mahkota Bolton pada Khamis lalu.

Ia selepas wanita mengakui beberapa kesalahan, termasuk salah laku di pejabat awam dan sengaja menggalakkan atau membantu melakukan sesuatu jenayah.

Ramsden pula dijatuhi hukuman lima tahun tujuh bulan atas kesalahannya. Hukuman itu bagaimanapun berjalan serentak dengan hukuman penjara yang sedang dijalaninya berhubung kes bunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 12:27 PM