KEJIRANAN berpagar antara ciri keselamatan penting di kediaman RKSU Muhammad Aizat.
KEJIRANAN berpagar antara ciri keselamatan penting di kediaman RKSU Muhammad Aizat.
Nurul Husna Mahmud

Melihat prospek kediaman pertama sebagai hartanah untuk pelaburan adalah satu pilihan wajar bagi jurutera berusia 26 tahun, Muhammad Aizat Mahmud ketika dia membeli kediaman Rumah Selangorku (RSKU) di Kajang, Selangor.

Kediaman berkenaan yang dibeli pada 2018 itu yang turut memiliki keluasan 69.7 meter persegi dirasakan satu pelaburan berbaloi bagi aset hartanah kerana memiliki status pegangan tetap selain fasiliti sesuai dengan keperluan semasa.

"Cabaran buat saya yang bekerja secara kontrak dengan syarikat pemaju dan pembinaan untuk merancang pembelian rumah pertama ialah komitmen bulanan yang tinggi.

"Namun memikirkan harga pasaran hartanah tidak mungkin menurun selain harganya masih mampu dibiayai setiap bulan, pada saya itu pengorbanan di usia muda.

"Tambahan pula saya mengambil berat dengan saranan keluarga supaya memiliki aset hartanah seawal mungkin juga menyebabkan saya memutuskan untuk membeli kediaman terbabit tiga tahun lalu," katanya.

Kata Muhammad Aizat lagi, kedudukan strategik yang mana lokasi perumahan itu mempunyai pelbagai prasarana selain kewujudan pusat komersial berhampiran juga menarik perhatiannya.

"Kebetulan saya tinggal bersama abang di Puchong, Selangor, jadi saya selesa tinggal di kawasan atau bandar berhampiran.

"Saya ada buat tinjauan beberapa lokasi lain termasuklah di Kuala Lumpur namun lokasi rumah ini dipilih kerana memiliki potensi besar iaitu dekat dengan laluan tren.

"Akses pengangkutan awam sangat mudah kerana terletak berhampiran dengan Stesen Bas Kajang, Stesen Komuter Kajang 2 dan Transit Aliran Massa (MRT) Kajang," katanya.

Malah lokasi terbabit juga tidak jauh dari pusat komersial dan bandar seperti Kajang dan Bandar Baru Bangi.

Berkongsi mengenai pencarian rumah pertamanya itu, kata Muhammad Aizat sebagai pembeli pertama mengakui cukup berhati-hati termasuklah menyelidik latar belakang pemaju.

"Sebelum saya membuat pembelian, saya sudah meninjau

terlebih dahulu beberapa lokasi projek pembinaan kediaman baru ketika itu.

"Saya tertarik membeli RKSU ini kerana ia satu inisiatif kerajaan negeri menggalakkan golongan muda seperti saya untuk memiliki rumah.

"Pada saya, apabila projek ada campur tangan kerajaan negeri, risiko seperti projek terbengkalai dan masalah berkait dengan pemaju dapat dielak. Jadi, pada pemilik rumah seperti saya nilai ini penting," katanya.

Katanya, dia mengambil masa sekitar enam bulan bagi melihat pasaran rumah selain mengatur komitmen sedia ada bagi pembelian rumah berkenaan.

"Seperti saya katakan komitmen rumah cukup tinggi dan banyak faktor perlu dipertimbangka

n ketika membuat keputusan pembelian rumah terbabit.

"Saya bekerja sambil belajar dan ketika itu saya baharu bekerja sekitar tiga tahun. Adakala saya buat kerja sampingan bagi memastikan kewangan dengan komitmen baru terjamin.

MUHAMMAD Aizat menyifatkan proses remeh bagi pembelian kediaman Rumah Selangorku berbaloi.
MUHAMMAD Aizat menyifatkan proses remeh bagi pembelian kediaman Rumah Selangorku berbaloi.

RUANG tamu dalam kediaman.
RUANG tamu dalam kediaman.

"Ada juga saya mohon bantuan iaitu MyDeposit iaitu Pembiayaan Deposit Rumah Pertama sebanyak 10 peratus bagi rumah bernilai bawah RM500,000. Itu juga membantu mengurangkan beban ketika awal pembelian rumah," katanya.

Selain deposit dan caj untuk guaman, pemilik rumah pertama juga perlu menyediakan wang bagi pemohonan hak milik strata atau bersama strata (strata title).

Cabaran lain bagi projek perumahan negeri seperti Rumah Selangorku, kata Muhammad Aizat proses pemohonan pembelian agak panjang bagi mendapat kelulusan pihak berkenaan.

"Bagi pembeli rumah bawah kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan memang perlu banyak bersabar. Baca teliti syarat-syaratnya dan bekalkan dokumen mencukupi.

"Kena sentiasa buat tindakan susulan bagi perkembangan sama ada sudah proses atau sudah ada pertimbangan pihak terbabit. Saya sendiri mengambil masa 10 bulan untuk keputusan kelayakan dari Lembaga Perumahan Kerajaan Negeri Selangor," katanya.

Katanya penantian pembelian unit perumahan itu berbaloi dengan fasiliti lengkap iaitu ada taman permainan kanak-kanak, surau dan kejiranan berpagar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Mei 2021 @ 7:00 AM