SARIMAH yang memangku anaknya, Airis Nuwaira bersama tiga lagi anaknya ketika menerima kunjungan Jainal@Zainal (kiri) dan Raja Shamri (dua dari kiri) di kediamannya di Kampung Putat Tujuh, di sini, semalam. FOTO Syaherah Mustafa
SARIMAH yang memangku anaknya, Airis Nuwaira bersama tiga lagi anaknya ketika menerima kunjungan Jainal@Zainal (kiri) dan Raja Shamri (dua dari kiri) di kediamannya di Kampung Putat Tujuh, di sini, semalam. FOTO Syaherah Mustafa
Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: "Dunia saya gelap seketika apabila dikhabarkan suami sudah tiada, tambahan pula saya masih dalam keadaan berpantang dengan bayi perempuan yang berusia 32 hari ketika itu," kata Sarimah Mat Nasir, 29.

Sarimah diuji dengan kematian suami, Mohammad Zulkifli Abd Ghani, 30, pada 26 Jun lalu, akibat organ dalaman tidak berfungsi selepas arwah mengalami sakit pinggang dan demam selama seminggu.

Katanya, kehilangan suami tersayang ketika dia masih berpantang bukanlah ujian yang mudah namun dia harus kuat demi empat anak termasuk bayi perempuan berusia 40 hari (semalam), yang diberi nama, Airis Nuwaira.

"Arwah sudah lama mahukan anak perempuan kerana sebelum ini kami dikurniakan tiga cahaya mata lelaki berusia tiga hingga 10 tahun. Namun, baru saja dia menikmati kegembiraan menerima anak perempuan, kini dia pula sudah pergi buat selama-lamanya.

"Sebelum ini arwah yang banyak membantu menguruskan anak-anak termasuk bayi kami yang baru lahir ini supaya saya dapat berpantang dengan sebaiknya, kini saya perlu kuat untuk menjalaninya sendirian tanpa suami di sisi.

"Semua anak-anak mula merindui bapa mereka terutama anak ketiga, Rayyan Iskandar, 3, yang sangat rapat dengan suami malah mereka demam silih berganti mungkin kerana masih lagi terkejut dengan apa yang terjadi," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Putat Tujuh, di sini, semalam.

Dia sekeluarga turut menerima kunjungan daripada Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Jainal@Zainal Madasin dan Pengasas Yayasan Raja Shamri (YRS), Raja Shamri Raja Husin.

Pihak YRS menyampaikan sumbangan kewangan, barangan keperluan asas dan menghadiahkan basikal kepada tiga anaknya selain turut memberikan kata-kata semangat buat Sarimah.

Sarimah berkata, dia juga hilang tempat bergantung dan punca pendapatan tetapi berhasrat untuk bekerja demi membesarkan anak-anak selepas ini.

"Hidup kami sebelum ini juga tidaklah begitu senang, tetapi arwah sentiasa ada untuk memastikan kami semua cukup makan dan minum, kini saya perlu belajar untuk usahakan sendirian kerana dia sudah lagi tiada bersama.

"Setiap hari anak-anak memberitahu bahawa mereka merindui arwah dan hanya mesej suara di aplikasi WhatsApp yang menjadi pengubat rindu setiap kali sebelum tidur.

"InsyaAllah, saya akan cuba menjadi kuat dan bangkit demi anak-anak walaupun sedar bahawa kehidupan saya akan berubah sepenuhnya selepas ini tanpa bantuan insan bergelar suami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 12:16 PM