PELAN empat langkah bantu orang ramai miliki rumah pertama idaman
PELAN empat langkah bantu orang ramai miliki rumah pertama idaman
Fairul Asmaini Mohd Pilus

TANYA sahaja kepada sesiapa yang sudah membeli rumah, pasti tiada yang menidakkan betapa peningnya fikiran mereka sebelum membuat keputusan memiliki kediaman impian.

Ia boleh menjadi suatu pengalaman yang mendebarkan dan mencemaskan, terutama seusai menandatangani dokumen pembelian hartanah berharga tinggi. Kemudian menunggu pula maklum balas pihak bank.

Tidak dilupakan juga komitmen bulanan bagi tempoh panjang yang perlu dibayar untuk rumah berkenaan.

Bermula dari pemilihan lokasi kepada bayaran pendahuluan yang membebankan, proses pemilikan kediaman boleh mengambil masa agak lama dan mencabar bagi kebanyakan pembeli rumah pertama.

Apatah lagi rumah antara aset yang paling berharga untuk kebanyakan kita.

Justeru, mengambil kira semua kesukaran yang dihadapi pembeli, pemaju hartanah, Myra tampil memberi perkhidmatan bimbingan peribadi bagi memudahkan orang ramai membeli rumah pertama mereka.

Pengurus Besar Jualan dan Pemasarannya, Wendy Lim berkata, pihaknya mahu membina kediaman yang lebih daripada sekadar rumah.

Kata Wendy, mereka ingin mewujudkan pengalaman hidup seolah-olah bagaikan berada di rumah sendiri terutama kepada ribuan keluarga dan individu.

MEMBELI rumah adalah satu keputusan bukan mudah untuk dilakukan.
MEMBELI rumah adalah satu keputusan bukan mudah untuk dilakukan.

“Demi mencapai impian ini, kami berkomunikasi secara berterusan dengan pembeli kami.

“Ini adalah untuk menyemai suatu nilai kebolehpercayaan dalam kalangan pembeli rumah terhadap kami sebagai pemaju hartanah,” katanya.

Menerusi usaha itu, pasukan berjiwa muda diwujudkan bagi mengutamakan pendidikan dan kesedaran kepada pembeli terlebih dahulu sebelum mereka melangkah ke proses pembelian kediaman.

Mereka akan menghubungkan pengalaman hidup dengan keperluan pembeli terlebih dahulu sebelum membantu individu mendapatkan rumah idaman masing-masing.

Bagi memenuhi perasaan ingin tahu pembeli, pemaju terbabit juga berusaha memudahkan pemilikan rumah menerusi platform komunikasi yang disediakan secara jujur dan telus.

Menerusi pelan empat langkah yang disediakan, mana-mana pembeli rumah pertama pastinya mendapat ketenangan untuk memperoleh kunci kediaman impian masing- masing.

PASUKAN yang berdedikasi untuk membantu orang ramai membeli rumah impian mereka.
PASUKAN yang berdedikasi untuk membantu orang ramai membeli rumah impian mereka.

Berikut antara langkah yang disediakan pemaju berkenaan bagi membantu orang ramai memiliki rumah pertama mereka:

Langkah pertama: Semua informasi akan dimaklumkan

Pendekatan secara mendalam terhadap gaya hidup pembeli rumah masa kini, keperluan dan apa yang terkandung dalam motivasi terhadap keinginan mereka untuk memiliki sebuah rumah akan dikenal pasti.

Selain itu, beberapa persoalan turut diambil kira iaitu pilihan jenis kejiranan, ciri-ciri rumah yang diinginkan dan kemampuan seseorang pembeli.

Langkah kedua: Mendapatkan sokongan bank

Sebagai pemaju hartanah, pihak terbabit juga membantu pembeli memperoleh dana dan dokumen supaya permohonan pinjaman bagi rumah dua tingkat impian diluluskan pihak bank.

Dalam urusan ini, pasukan yang dipertanggungjawabkan membantu pembeli melalui proses permohonan pembiayaan di setiap langkah.

Langkah ketiga: Soal undang-undang dan penantian

Adakah pinjaman pembiayaan sudah diluluskan? Pemaju ini tampil memberi lebih banyak nasihat mengenai kos tersembunyi berkaitan sebuah rumah.

Selain bayaran pendahuluan yang tinggi, bakal pembeli rumah perlu mengambil kira kos awal seperti yuran guaman, duti setem, penilaian dan perbezaan nilai.

Pembeli juga akan dimaklumkan dari semasa ke semasa secara kerap mengenai perkembangan projek pembinaan rumah sepanjang tempoh penantian selama dua tahun.

REKAAN bilik tidur yang moden.
REKAAN bilik tidur yang moden.

Langkah keempat: Hari penerimaan kunci

Akhirnya, cuma selangkah lagi untuk pembeli menerima kunci rumah baharu mereka.

Selepas selesai berpindah masuk, setiap momen penting dalam kehidupan pembeli rumah, baik sambutan hari jadi pembeli, mahupuan hari ulang tahun kepemilikan rumah akan diraikan.

Ini kerana pemaju hartanah itu bukan sekadar membina kediaman, tetapi juga hubungan yang bermakna dengan pembeli rumah meskipun selepas proses serahan kunci.

Dengan semua itu, pemilik rumah sudah semestinya boleh menjangkakan jalinan persahabatan jangka panjang dalam kehidupan komuniti yang ideal.

Pada masa ini, terdapat empat projek perbandaran iaitu Myra Saujana di Dengkil, Myra Meranti di Puchong, Myra Alam di Puncak Alam dan Myra Putra di Desa Pinggiran Putra.

Matlamat akhir pemaju hartanah itu adalah untuk menawarkan rumah bagi lebih 100,000 orang rakyat di negara ini menjelang 2028.

WENDY
WENDY

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2020 @ 7:00 AM