SOHO atau Sovo antara konsep sering ada pada kediaman lot komersial.
SOHO atau Sovo antara konsep sering ada pada kediaman lot komersial.
Nurul Husna Mahmud


PERTUMBUHAN ekonomi yang pesat dan kekurangan penawaran tanah menjadi faktor utama mempengaruhi trend hartanah semasa terutama di Kuala Lumpur, Georgetown dan Johor Bharu.

Kebanyakan pembangunan hartanah kediaman turut dibangunkan di lot komersial dan ia menunjukkan permintaan terhadap rumah sangat kompetetif sehingga pemaju terpaksa menawarkan pembangunan bersepadu.

Jika dahulu tanah kediaman dan tanah komersial memiliki perbezaan ketara dari segi status milikan serta syarat penggunaan tanah.

Namun, situasi hartanah kini berbeza dengan wujudnya projek pembangunan bersepadu yang mana pembinaan rumah di bawah 'tajuk' servis apartmen.

Wujudnya rumah pada lot komersial seperti Pejabat Kecil Pejabat Rumah (SoHo), Pejabat Kecil Pejabat Fleksibel (SoFo) dan Pejabat Kecil Pejabat Maya (SoVo) menjadi pilihan golongan muda sebagai kediaman atau pelaburan.

Pensyarah Kanan Program Sarjana Sains Rekabentuk Bandar Lestari, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur, Dr Tuti Haryati Jasimin berkata, pembeli hartanah jenis kediaman terbabit perlu jelas dengan kategori dan status hartanah dibeli bagi memahami komitmen jangka panjang.

"Ramai tahu mengenai kediaman hartanah dibangunkan dalam plot komersial seperti SoHo atau jenis studio dibangunkan dalam satu bangunan menempatkan unit komersial seperti bangunan pejabat atau kedai.

"Tetapi, perkara remeh berkaitan kos sampingan yang perlu ditanggung pemilik rumah jenis ini, selain masih ramai tidak jelas atau keliru.

KEDIAMAN pada lot komersial biasanya memiliki akses kemudahan pejabat dan kedai dekat.
KEDIAMAN pada lot komersial biasanya memiliki akses kemudahan pejabat dan kedai dekat.

"Rumah kebiasaannya dibina pada plot atau tanah status kediaman. Tetapi, bagi bandar utama yang berdepan masalah kekurangan tanah, pembangunan campuran termasuk pembinaan hartanah kediaman juga berlaku pada plot komersial.

"Kesannya terdapat beberapa perkara yang tidak ramai ketahui terutama kadar caj penyelenggaraan dan kumpulan wang pelepasan dikenakan kepada mereka berbeza mengikut status tanah. Kebiasaannya kategori tanah komersial kadar dikenakan lebih tinggi berbanding tanah kediaman berstrata," katanya.

Tambah pakar itu lagi, dari sudut pemaju banyak kelebihan yang mereka peroleh daripada konsep pembangunan bersepadu atau campuran.

"Dalam Akta Pembangunan Perumahan (HDA) yang mana merujuk kategori rumah konvensional, pemaju hanya dibenarkan membina 70 rumah atas seekar tanah berbanding jika unit rumah berstatus komersial, mereka boleh membina sehingga 100 unit.

"Jika pemaju mahu menukar syarat penggunaan tanah mengikut seksyen 52 Kanun Tanah Negara (KTN) 1965, tanah terbahagi kepada tiga iaitu tanah pertanian, tanah bangunan dan tanah industri boleh memohon tukar syarat tanah.

"Permohonan hendaklah dikemukakan ke Pejabat Tanah atau Pejabat Tanah dan Galian yang berkenaan dengan mematuhi syarat tertentu.

LOKASI strategik termasuk pengangkutan awam.
LOKASI strategik termasuk pengangkutan awam.

"Biasanya memerlukan kos tambahan bagi melunaskan premium bagi proses itu. Begitu juga dalam penukaran status hartanah komersial kepada kediaman, ada proses tertentu yang remeh berbanding pemaju memilih menjalankan projek bersepadu," katanya.

Kata Dr Tuti Haryati, menjadi tanggungjawab pemilik atau pembeli mengetahui perbezaan dalam milikan rumah status komersial berbanding rumah atas tanah kediaman.

"Ada beberapa ciri-ciri ketara membezakan pembelian dan milikan rumah pada lot komersial berbanding rumah biasa. Pertamanya adalah pembiayaan bagi membeli hartanah kediaman komersial biasanya pada kadar 80 peratus nilai pasaran.

"Pembeli hartanah jenis ini terpaksa membuat persiapan iaitu 20 peratus deposit daripada simpanan sendiri untuk pembelian rumah.

TARIF elektrik berbeza untuk kediaman komersial.
TARIF elektrik berbeza untuk kediaman komersial.

"Perbezaan kedua adalah tarif elektrik iaitu biasa caj dikenakan untuk 200 unit pertama adala 0.218 sen perkilowatt berbanding rumah pada lot komersial 0.43 sen perkilowatt.

"Ada kelonggaran apabila pemilik rumah boleh memohon menukar tarif komersial kepada tarif kediaman," katanya.

Selain pembiayaan pinjaman dan tarif utiliti, pemilik hartanah komersial menanggung kadar cukai pintu dan tanah lebih tinggi. Dianggarkan caj terpaksa ditanggung lebih dua kali ganda dibandingkan dengan cukai rumah.

Cuma kelebihan memiliki hartanah jenis ini adalah faktor lokasi dan akses terhadap fasiliti termasuk pejabat serta kedai yang dekat membuatkan ramai memilih membeli unit kediaman dalam lot komersial.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Februari 2023 @ 6:30 AM