BERADA berdekatan dengan pusat beli-belah juga satu kelebihan buat hartanah yang dibina.
BERADA berdekatan dengan pusat beli-belah juga satu kelebihan buat hartanah yang dibina.
Dr Mohd Zairul Mohd Noor


KAJIAN Khoo Darren, Goh Yen-Nee, Ting Mao-Seng pada 2019 mendapati trend pembelian akan datang terutama di era revolusi industri (IR 4.0) adalah dipengaruhi media sosial.

Hasil kajian itu juga mendapati pada tahun mendatang trend pembeli muda yang lebih menggemari hartanah kediaman tinggi di atas lot komersial.

Ini juga bertepatan dengan kajian pasaran yang dijalankan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia Belia (REHDA Youth) yang menyatakan trend pembeli sudah berubah. Kebanyakan pembeli muda pula mahukan kediaman yang bertepatan dengan cita rasa mereka.

Malahan kajian Khoo dan rakan-rakannya itu mendapati trend media sosial yang menunjukkan cara hidup bandar terutama kepada golongan muda eksekutif banyak dipengaruhi bagaimana kehidupan mereka dapat dipaparkan di alam maya.

Walaupun pandemik Covid-19 sedikit sebanyak mengganggu permintaan hartanah, namun tahun ini aktiviti pembelian masih berjalan lancar menurut Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA).

Trend pembinaan dalam kalangan pemaju swasta juga lebih kepada pembangunan bercampur yang membabitkan pembinaan rumah di zon komersial.

Di dalam pembangunan bercampur ini biasanya membabitkan projek perumahan, komersial, hiburan, rekreasi dan juga komponen budaya.

Pembangunan bercampur ini membabitkan pembangunan transit (TOD) yang menawarkan pembangunan bertingkat dan lengkap dengan kemudahan terkini,

berhampiran kawasan kerja dan memudahkan pengguna serta bakal pembeli.

TINGGAL di kediaman tinggi dengan persekitaran moden antara pilihan utama.
TINGGAL di kediaman tinggi dengan persekitaran moden antara pilihan utama.

Oleh kerana perubahan gaya hidup pembeli rumah terutama golongan muda eksekutif, pemaju kini berlumba-lumba menawarkan pakej perumahan yang sarat dengan kemudahan tambahan.

Jika 10 tahun dulu kebanyakan perumahan di lot komersial ini hanya mencukupi dengan kemudahan kolam renang dan gimnasium saja. Namun kini pelbagai kemudahan lain yang ditawarkan pemaju bagi 'memancing' pembeli muda membeli kediaman yang ditawarkan.

Ini termasuk dengan penyediaan kawasan rekreasi, yoga, kompleks membeli-belah, kafe, landskap yang menarik untuk berswafoto.

Namun, satu perkara yang harus diambil perhatian, semua fasiliti ini ada harganya. Menerusi pembinaan fasiliti yang pelbagai, pembeli juga harus bersetuju untuk membayar kos penyelenggaraan bagi menyelenggara semua fasiliti yang termasuk di dalam pakej pembelian perumahan.

Pakej ini juga dipanggil sebagai parsel aksesori yang mana harus diselia badan penyelia (MC) yang dilantik selepas sekurang-kurangnya 25 peratus daripada jumlah agregat unit syer terjual oleh pihak pemaju.

DEKORASI ruang yang eksklusif juga ada kalanya menjadi latar untuk berswafoto.
DEKORASI ruang yang eksklusif juga ada kalanya menjadi latar untuk berswafoto.

Di sini kebanyakan masalah bermula apabila kutipan pembayaran bagi menyelenggara fasiliti terlibat tidak berjaya dikumpul secara konsisten. Oleh itu, akta pengurusan strata (SMA) memperketatkan pengawasan bagi menyita harta pemilik culas membayar kos penyelenggaraan bulanan seperti yang ditetapkan.

Pelbagai kajian dijalankan berkaitan permasalahan yang timbul hasil dari proses penyelenggaraan dan hak pihak pengurusan yang dilantik bagi memastikan semua fasiliti terbabit tidak terabai.

Pembeli di kawasan lot kediaman komersial juga harus mempunyai akta yang berbeza berbanding pemilik di zon kediaman biasa yang tidak membabitkan pembangunan bercampur.

Pembeli yang sudah membuat keputusan untuk membeli di zon komersial juga harus akur tarif yang akan dikenakan terhadap mereka adalah lebih tinggi berbanding kediaman di lot perumahan. Terdapat pro dan kontra bagi kedua-dua pemilikan. Akhir kata, ukurlah baju di badan sendiri!

Penulis adalah pensyarah kanan, Fakulti Rekabentuk dan Senibina, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2020 @ 7:00 AM