CATOPIA Shah Alam dibuka secara percuma kepada pengunjung pada setiap hari bermula hari ini sehingga 31 Disember. FOTO ihsan MBSA
CATOPIA Shah Alam dibuka secara percuma kepada pengunjung pada setiap hari bermula hari ini sehingga 31 Disember. FOTO ihsan MBSA
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjadi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama di Malaysia yang membina Taman Rekreasi Kucing berkonsepkan kawasan permainan luar.

Pengarah Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Mohd Azhar Mohd Sharif berkata, Catopia Shah Alam menyediakan pengalaman unik kepada pemilik kucing khususnya dalam kalangan komuniti Shah Alam.

"Catopia Shah Alam dibuka secara percuma kepada pengunjung pada setiap hari bermula hari ini sehingga 31 Disember dari jam 10 pagi sehingga 7 malam dan boleh memuatkan sehingga 20 ekor kucing pada satu masa.

"Pembinaan Taman Rekreasi Kucing 'Catopia Shah Alam' ini adalah inisiatif pihak MBSA untuk meningkatkan tahap kesedaran dalam kalangan komuniti di Shah Alam berkaitan pemilikan haiwan peliharaan dengan bertanggungjawab.

"Ia juga sebagai platform oleh MBSA untuk bersama mendidik dan memberikan pendedahan yang lebih meluas kepada orang ramai terhadap kepentingan kesejahteraan haiwan dalam mewujudkan keseimbangan ekosistem," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, dengan berkonsepkan taman permainan mini, Catopia Shah Alam dipadankan dengan 12 elemen yang menarik seperti menyediakan papan tanda informasi dan peta taman rekreasi kucing, tempat perlindungan dan makanan kucing, kolam air pancuran mini untuk kucing, kawasan 'rumput helikopter' (rumput kegemaran kucing) dan kawasan pasir (cat litter area).

Katanya, Taman Rekreasi Kucing 'Catopia Shah Alam' diharap dapat menjadi salah satu tempat pelancongan untuk menarik pengunjung berkunjung ke Shah Alam.

"Pembinaan taman ini juga adalah sejajar dengan elemen Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) iaitu Kesihatan dan Kesejahteraan Baik (SDG 3) ke arah menjadikan Shah Alam sebuah bandar raya pintar, berdaya huni dan makmur," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Azhar berkata, MBSA akan membina sebuah Pusat Santuari Haiwan Kacau Ganggu di Seksyen U1, Shah Alam.

Menurutnya, cadangan pecah tanah bagi pembinaan Pusat Santuari Haiwan Kacau Ganggu MBSA ini dijangka akan diadakan September ini.

"Di samping itu, pihak MBSA juga mempunyai perancangan untuk membina sebuah Safari Kucing iaitu pusat perlindungan kucing yang berkonsepkan safari yang mana ia akan dibuka kepada orang ramai.

"Tempat-tempat menarik untuk bergambar bersama kucing akan disediakan kepada orang ramai dan mereka juga berpeluang untuk mendapatkan kucing angkat di safari ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 12:33 PM