TRAK Mack antara koleksi kenderaan Sultan Johor yang dipamerkan di Pameran Kembara Mahkota sempena Festival Majestic Johor (FMJ) baru-baru ini.
TRAK Mack antara koleksi kenderaan Sultan Johor yang dipamerkan di Pameran Kembara Mahkota sempena Festival Majestic Johor (FMJ) baru-baru ini.
Mary Victoria Dass

Trak 'Mack' eksklusif milik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, sememangnya antara kenderaan yang menjadi tarikan seluruh dunia ketika ia diperkenalkan pada 2015 malah kekal sehingga kini.

Berdasarkan sejarah penciptaan kenderaan itu, trak pertama di dunia dihasilkan pada 1905 (117 tahun lalu) oleh syarikat 'Mack Brothers' yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) dan mula menggunakan namanya pada 1922.

Ketika Perang Dunia Pertama, Mack menghantar lebih 6,000 trak kepada tentera AS dan United Kingdom (UK).

Tentera UK kagum dengan ketahanan, kelasakan serta keupayaan trak keluaran syarikat itu malah menggelarnya 'Mack Bulldogs'.

Pelbagai jenis trak diperkenalkan oleh syarikat ini sejak lebih 100 tahun termasuk model 'F' pada 1962, jentera bomba pada 1966, 'Super Liner' pada 1977 serta 'RS' dan 'RL' yang lebih bergaya pada 1980.

ANTARA model terawal Trak Mack yang diperkenalkan oleh Syarikat Mack Brothers.
ANTARA model terawal Trak Mack yang diperkenalkan oleh Syarikat Mack Brothers.

Malah, model baharu iaitu 'CH Model' diperkenalkan pada 1988 selain 'The Terrapro LE' pada 1994.

Ia diikuti model 'Mack Anthem', 'Pinnacle', 'Granite', 'LR', 'LR Electric', 'TerraPro' dan 'MD Series' pada tahun-tahun berikutnya.

Bagi Trak Mack milik Sultan Johor, ia memiliki keistimewaan tersendiri terutama daripada segi rekaannya yang berdasarkan serta mengikut cita rasa baginda.

Dengan 685 kuasa kuda, ia memiliki kelajuan 100 kilometer sejam serta dilengkapi pelbagai kemudahan.

'Mack Superliner' milik Sultan Ibrahim ditempah sendiri oleh baginda di 'Mack Trucks Australia' dan dilengkapi dengan sistem suspensi udara Primaax RADD-A4P bersama kabin tempat tidur.

Dengan badan jauh lebih panjang dan besar berbanding kepala lori kontena tempatan, trak Mack Superliner ini dijana enjin turbodiesel enam-silinder sebaris MP10 16.1 liter.

Motif rekaan airbrush bertemakan Johor dengan tiga warna utama iaitu merah, biru, putih serta imej Harimau Selatan menambah 'garang' trak ini.

Trak Mack eksklusif ini diserah kepada baginda pada majlis penyerahan yang diadakan di King George Square di pusat perniagaan Brisbane, Australia pada 2015.

Trak mewah itu mengambil masa setahun untuk disiapkan di ibu pejabat pengeluar Wacol, di barat daya Brisbane.

SULTAN Ibrahim Iskandar bergambar kenangan bersama Trak Mack.
SULTAN Ibrahim Iskandar bergambar kenangan bersama Trak Mack.

Sultan Ibrahim julung kali menggunakan trak berkenaan dengan memandu kenderaan itu sendiri dari Istana Pasir Pelangi ke sebuah restoran di Danga Bay untuk makan tengah hari.

Malah, Kembara Mahkota Johor (KMJ) Edisi ke-19 mulai 14 hingga 17 Mei 2016 yang diketuai baginda ke seluruh daerah lebih meriah apabila baginda memilih menggunakan tiga trak Mack.

Pemilihan kenderaan berkenaan bukan saja melancarkan perjalanan baginda sejauh 842 kilometer, malah turut memenuhi penantian masyarakat Johor bagi menyaksikan trak istimewa itu pada jarak dekat.

Malah, bagi mengubati kerinduan ramai terhadap trak berkenaan, ia juga dipamerkan di Pameran Kembara Mahkota sempena 'Festival Majestic Johor' (FMJ) di Puteri Harbour di Iskandar Puteri di sini, baru-baru ini.

Ribuan pengunjung Pameran Kembara Mahkota teruja selepas Sultan Ibrahim berkenan mempamerkan 16 kenderaan, termasuk Trak Mack yang digunakan baginda secara rasmi sepanjang penganjuran program KMJ sejak 2000.

Pameran Kembara Mahkota mencatat kunjungan 135,628 pelawat sepanjang festival yang diadakan mulai 8 hingga 18 September lalu.

SULTAN Ibrahim Iskandar bersama Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail bergambar kenangan dengan tiga Trak Mack yang dimiliki.
SULTAN Ibrahim Iskandar bersama Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail bergambar kenangan dengan tiga Trak Mack yang dimiliki.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2022 @ 6:30 AM