INSIDEN yang nyaris mencederakan Ronaldo. FOTO X
INSIDEN yang nyaris mencederakan Ronaldo. FOTO X
Agensi

Gelsenkirchen: Pemain sensasi Portugal Cristiano Ronaldo hanya beberapa inci sahaja daripada diterajang seorang penyokong selepas tamat perlawanan menentang Georgia, semalam.

Ketika meninggalkan padang yang menyaksikan Portugal tewas mengejut 0-2, penyokong terbabit melompat dari tempat duduk dan kakinya hampir terkena Ronaldo yang berjalan di bawah menuju terowong.

Ronaldo dan pasukan berdepan detik memalukan di Veltins Arena di Gelsenkirchen selepas tewas di tangan Georgia yang berada 68 anak tangga di bawah Portugal dalam ranking Fifa.

Video yang tersebar di media sosial menunjukkan seorang penyokong tiba-tiba melompat ke bawah melepasi palang ketika Ronaldo berjalan di bawah dan hampir terkena pemain berusia 39 tahun itu.

Ronaldo tampak terkejut tetapi tindakan pantas pengawal keselamatan menyelamatkan dia daripada mendapat kecederaan dan tidak dapat dipastikan tujuan sebenar lelaki terbabit.

Insiden itu bukan kali pertama membabitkan peminat yang menceroboh padang untuk menghampiri Ronaldo di Euro 2024.

Beberapa pemain masuk ke padang di Dortmund ketika Portugal menewaskan Turkiye 3-0 minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 7:11 AM