LEGA suami sentiasa di sisi.
LEGA suami sentiasa di sisi.
Najiy Jefri


Siapa sangka penyertaan Ayda Jebat dalam program The Hardest Singing Show berjaya membuktikan kehadirannya dalam dunia seni bukan sekadar mampu menyanyi dengan baik, malah mampu menghiburkan penonton dengan konsep persembahan unik setiap minggu.

Sentiasa tampil dengan idea segar dan baharu, Ayda berjaya mencapai objektif program itu yang menguji fizikal, mental dan kreativiti peserta.

Lebih menarik, program mengetengahkan 'showmanship' sebagai kriteria utama penjurian memberi peluang kepada penyanyi berusia 32 tahun itu mencabar diri, sekali gus melatih diri menjadi penghibur lebih baik.

"Saya tidak menyesal sertai program ini. Pentas ini adalah platform bukan saja untuk saya, tetapi peserta lain untuk menjadi lebih kuat dan sentiasa tampil dengan idea kreatif.

"Selain itu, program ini menguji ketahanan mental dan fizikal ke tahap lebih tinggi. Apa tidaknya setiap minggu kami perlu 'level up' persembahan kami kerana ia antara kriteria utama yang mereka lihat dalam penjurian," katanya

MOHON doa supaya bapa segera sembuh selepas diserang angin ahmar.
MOHON doa supaya bapa segera sembuh selepas diserang angin ahmar.

Ditanya berapa kos yang dibelanjakan setakat minggu ketujuh, Ayda memilih untuk tidak mendedahkannya.

"Biar rahsia soal anggaran bajet sudah dibelanjakan setiap minggu demi memberi persembahan terbaik.

"Saya harap dengan tema dan konsep persembahan berbeza setiap minggu yang kami bawakan mampu memberi saingan serta menarik perhatian penonton terutama peminat," katanya.

Dalam masa sama, Ayda meluahkan rasa syukur dan gembira apabila suami, Nabil Mahir sentiasa berada di sisi dan menjadi 'mastermind' kepada setiap konsep persembahan.

Ayda berkata, tanpa Nabil dia tidak mampu memberi persembahan terbaik kerana suaminya mementingkan kesempurnaan.

"Nabil teruja buat kerja belakang tabir. Melihat Nabil yang teliti dan sentiasa nak kelihatan sempurna, saya yakin dengan kemampuannya.

"Selagi setiap tugasan itu tidak disempurnakan dengan baik, Nabil tidak benarkan saya buat persembahan kerana dia mementingkan keselamatan dan kesempurnaan ketika persembahan.

"Sebolehnya dia tak nak saya buat kesilapan dan minta saya melakukan latihan berulang kali sehingga mendapat rentak yang tepat.

"Kalau Nabil tiada, mungkin saya pun tidak ada dalam program ini. Dia sangat dedikasi dan saya kagum dengan cara dia bekerja," katanya.

AYDA berusaha menjadi penghibur yang baik.
AYDA berusaha menjadi penghibur yang baik.

Kata, pentas itu juga mendidik dirinya dia menjadi penghibur yang baik pada masa mendatang.

"Pentas ini menjadi titik permulaan untuk saya bukan saja dikenali sebagai penyanyi, tetapi penghibur.

"Ini bermakna dalam setiap persembahan saya sedia terima apa saja cabaran, tapi semua itu tidak akan berhasil jika tiada bantuan suami," katanya.

Dalam pada itu, Ayda tidak terlepas berdepan ujian lain ketika menyertai program itu apabila bapanya, Jebat, 54, dimasukkan ke hospital akibat serangan angin ahmar baru-baru ini.

Bersyukur bapa tercintanya sudah dibenar pulang, Ayda bagaimanapun berikhtiar mendapatkan rawatan alternatif buat bapanya.

"Alhamdulillah, ayah tunjuk perkembangan positif. Kami sudah menyusun jadual untuk sesi fisioterapi dan akupuntur.

"Selebihnya kami hanya mampu berdoa kerana angin ahmar atau strok bukan boleh sembuh dalam tempoh singkat.

"Saya harap dia kuat semangat walaupun saya tahu dia berduka dengan dugaan yang ditanggung.

"Saya akui persembahan minggu keenam agak terganggu, tapi memikirkan ada keluarga menjaganya di Melaka dan anak-anak berada dalam keadaan baik, sedikit sebanyak memberi kelegaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 7:00 AM