SULTAN Ibrahim  dan Tunku Ismail    bersama dengan tiga trak Mack yang akan digunakan pada KMJ 2016.
SULTAN Ibrahim dan Tunku Ismail bersama dengan tiga trak Mack yang akan digunakan pada KMJ 2016.
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Kembara Mahkota Johor (KMJ) Edisi ke-19 mulai 14 hingga 17 Mei ini yang diketuai Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar di seluruh daerah ini dijangka lebih meriah apabila baginda memilih menggunakan tiga trak Mack.

Pemilihan kenderaan berkenaan pada KMJ 2016 dijangka bukan saja melancarkan perjalanan baginda sejauh 842 kilometer, malah turut memenuhi penantian masyarakat Johor bagi menyaksikan trak menarik berkenaan pada jarak dekat.

Ketika meninjau lokasi tertentu, baginda juga bakal mengendalikan kenderaan berkenaan diikuti konvoi kelab pacuan empat roda, bas dan motosikal berkuasa tinggi.

KMJ yang sinonim dengan institusi Diraja Johor ini memberikan peluang kepada keluarga kerabat berdamping dengan rakyat sambil mengenali permasalahan rakyat serta melihat pembangunan negeri ini.

Malah, ia dinantikan oleh masyarakat Johor berikutan menjadi peluang keemasan untuk bertemu dengan Sultan Ibrahim yang terkenal sebagai raja berjiwa rakyat dan penyayang.

Majlis pelepasan KMJ 2016 bakal diadakan di Dataran Bandaraya Johor Bahru pada 8 pagi, 14 Mei depan dan akan singgah di Gerai Majlis Kulai, Felda Inas, Kampung Lukut, Kota Tinggi, legaran Tanah Putih, Kampung Sentosa Sedili, Tenggaroh, Taman Wawasan Mersing dan Kem Iskandar Mersing pada hari pertama.

Hadir sama, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Ismail Karim dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri Datuk Tee Siew Kiong.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2016 @ 5:06 AM