SULTAN Ibrahim meluangkan masa bergambar bersama rakyat dan trak Mack.
SULTAN Ibrahim meluangkan masa bergambar bersama rakyat dan trak Mack.
TRAK Mack.
TRAK Mack.
BINAAN khas yang dilakukan dalam tempoh setahun.
BINAAN khas yang dilakukan dalam tempoh setahun.
WARNA yang menarik perhatian sesiapa sahaja yang memandang.
WARNA yang menarik perhatian sesiapa sahaja yang memandang.
Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein


Satu sejarah sudah pasti tercipta apabila sebuah trak yang menyerupai watak ‘Optimus Prime’ dalam filem Transformers dan bernilai jutaan ringgit, malah yang paling mahal serta mewah di dunia disahkan menjadi milik individu terkenal di negara ini.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar kerap menjadi tumpuan umum apabila memiliki pelbagai kenderaan mewah yang sememangnya menjadi impian serta hobinya mengumpul koleksi seumpama itu.

Terbaharu, sebuah trak Mack disahkan menjadi milik Sultan Ibrahim apabila baginda yang mengimpikan trak terbabit berjaya memilikinya selepas membeli sebelum diserahkan dalam satu majlis penyerahan di Dataran King George, Brisbane, Australia pada 15 Oktober tahun lalu.

Sudah pasti, dengan gahnya trak Mack ini berjaya mengagumkan bukan saja Sultan Ibrahim, tetapi semua rakyat Malaysia terutamanya penduduk Johor.

Dengan warna merah, biru dan putih yang melambangkan warna kebanggaan Johor, trak yang dianggarkan berharga RM1.4 juta itu kali pertama digunakan oleh baginda yang memandunya sendiri di sekitar bandar raya Johor Bahru baru-baru ini.

Lambang kegagahan trak itu tidak saja pada saiznya, juga boleh dilihat pada perhiasan hud dengan lambang harimau mengaum bersadur emas yang dipacakkan di hadapannya.

Trak Mack yang dihasilkan di Brisbane, Australia itu dilengkapi enam kamera litar tertutup (CCTV), dua set televisyen berskrin rata, ruang dapur, set barbeku, katil kelamin serta kerusi bersulamkan 72,000 jahitan benang emas.

Bukan itu saja, trak berjenama Mack Truck Australia berkenaan turut dilengkapi dengan sistem hiburan seperti permainan video Playstation dan Xbox One.

Pembinaan trak mewah itu memakan masa setahun dengan menggunakan lebih 30 tenaga kerja membabitkan lebih 5,000 jam masa bekerja.

Trak berwarna merah, biru dan putih dibeli baginda di Australia itu difahamkan pada asalnya berwarna putih, namun diubah suai mengikut permintaan Sultan Ibrahim yang melambangkan identiti Johor.

Sultan Ibrahim dilaporkan amat menghargai kejuruteraan Australia dan turut mengumpul beberapa kereta Holden sejak beberapa tahun lalu.

Trak Mack dengan rekaan khas serta tersendiri oleh Sultan Ibrahim terbabit dikatakan ditempah khas bagi membawa bot berkuasa tinggi untuk mengelilingi dunia.

Pada 10 Januari lalu, rakyat Johor diberi peluang melihat dengan lebih dekat trak Mack ini dan berkesempatan mengambil gambar apabila Sultan Ibrahim berkenan meletakkannya di bawah Gerbang Mahkota untuk dilihat masyarakat tempatan.

Walaupun hanya dua jam, trak Mack itu akan dapat ditemui lagi oleh rakyat jelata apabila baginda bertitah bakal menggunakannya dalam Kembara Mahkota Johor (KMJ) yang akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2016 @ 5:01 AM