Syahirah  (dua dari kanan) bersama keluarganya melambai trak Mack yang dipandu Sultan Ibrahim Iskandar bersama rombongan KMJ 2016, semalam.
Syahirah (dua dari kanan) bersama keluarganya melambai trak Mack yang dipandu Sultan Ibrahim Iskandar bersama rombongan KMJ 2016, semalam.
Rudy Fazrunisyam Samarudin dan Mohd Fahmi Mohd Yusoff

Mersing: Seorang bakal pengantin sempat meluangkan masa beratur di tepi jalan selama sejam bagi menyambut serta menyaksikan sendiri trak Mack dipandu Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar yang melalui Jalan FELDA Nitar di sini, semalam.

Syahirah Saat, 19, berkata, walaupun semalam adalah hari dia melangkah ke alam perkahwinan namun dia juga tidak mahu melepaskan peluang untuk menyaksikan rombongan Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2016 itu.

Katanya, dia menunggu sejak jam 8 pagi di tepi jalan bersama ibunya, Ruminah Zaini, 56, serta ahli keluarga mereka.

“Saya sepatutnya bernikah di Pejabat Kadi Mersing, jam 9.30 pagi dengan bakal suami (Mohamad Sabri Razali, 22), tetapi saya membuat keputusan untuk menyaksikan konvoi kembara keluarga Diraja ini terlebih dulu.

“Saya dan ibu tiba di sini jam 8 pagi sebelum polis menutup sementara jalan berikutan trak Mack Sultan Ibrahim akan melalui jalan ini.

“Kami bertuah kerana dapat melihat trak Mack yang julung kalinya digunakan pada KMJ,” katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2016 @ 5:49 AM