KHALID (tengah) bersama Man (kiri) dan Zan.
KHALID (tengah) bersama Man (kiri) dan Zan.
Norhayati Nordin

PEMERGIAN yang tiada ganti.

Ini dirasakan pemain gitar band rock legenda, Rusty Blade iaitu Khalid Mobin mengenai pemergian pemain bass mereka, Sulaiman Ibrahim atau Man Karen yang meninggal dunia akibat kanser otak tahap empat pada 17 Jun lalu di Jurong, Singapura.

Walaupun sudah menjalani pembedahan pada 2022 dan dikatakan makin pulih, namun takdir akhirnya membawa Man kembali ke pangkuan Ilahi.

Bercerita mengenai Man, Khalid berkata, Allahyarham seorang pemuzik yang berbakat besar, berpengalaman luas dan berkaliber dalam penciptaan lagu serta susunan muzik.

"Arwah adalah pemuzik sejati kerana bakat dimilikinya itu. Keputusan kami membawa Man menyertai Rusty Blade pada 1988 adalah tepat," katanya.

Man yang sebelum itu menganggotai band Rockers menggantikan Razak yang meninggalkan Rusty Blade.

"Selepas Razak meninggalkan Rusty Blade atas sebab peribadi, memang susah sebenarnya mencari pengganti. Tapi, saya lihat Man adalah satu-satunya pemuzik yang layak dan setanding untuk bergabung dengan kami," katanya.

RUSTY Blade ketika Man (kanan) pertama kali menyertai mereka  pada 1988.
RUSTY Blade ketika Man (kanan) pertama kali menyertai mereka pada 1988.

Khalid berkata, dua minggu selepas Razak meninggalkan Rusty Blade, mereka sudah ada komitmen persembahan dan Man yang baru menyertai Rusty Blade ketika itu diminta berlatih memainkan 30 lagu.

"Mula-mula dia tidak yakin. Tapi, sebagai rakan saya beri semangat dan 'guide' dia," katanya.

Hasilnya, dalam tempoh singkat Man berjaya berlatih dan mahir bermain 15 hingga 17 lagu Rusty Blade untuk persembahan itu. Ia amat dikagumi kerana jiwa muzik Man cukup kental.

Man tampil dalam album terakhir Rusty Blade iaitu Awas pada 1989 sebelum mereka berpecah dan membawa haluan masing-masing.

Bagaimanapun, Rusty Blade bergabung semula pada 2007 dalam beberapa siri konsert. Pada 2022, Rusty Blade tampil dengan single terbaharu berjudul Juara. Man adalah pencipta, penulis lirik dan penggubahnya.

"Dia sangat teruja dan bersungguh-sungguh untuk lagu Juara ini kerana kecintaan mendalam pada muzik. Walaupun ketika itu arwah sudah ada menunjukkan dirinya kurang sihat, tapi semangat dimiliki amat kuat.

"Idea lagu Juara itu daripada arwah sepenuhnya yang ditulis pada 2022 juga ketika berada di Jakarta. Kini, selepas dua tahun berlalu ternyata lagu Juara menjadi kenangan karya terakhir arwah dengan kami," katanya.

Khalid yang merindui sahabat baiknya itu berkata, Man adalah insan berbakat dalam penciptaan lagu serta disenangi ramai.

Katanya, kekosongan yang ditinggalkan Man kini diisi pemain bass berbakat iaitu Anis Aris.

Selain Khalid dan Man, Rusty Blade turut dianggotai Yantzen sebagai penyanyi, Md Noor Hendrix (gitar) dan Zan (dram). Mereka antara band rock legenda di Malaysia dan Singapura sebaris dengan Search, Wings, Lefthanded, Bloodshed dan MAY.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 6:20 AM