Perkahwinan dalam Islam bukan sahaja satu ikatan yang sah antara lelaki dan perempuan, tetapi satu mekanisme penting untuk memastikan kesinambungan generasi umat Islam.
Perkahwinan dalam Islam bukan sahaja satu ikatan yang sah antara lelaki dan perempuan, tetapi satu mekanisme penting untuk memastikan kesinambungan generasi umat Islam.
Oleh Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

Perkahwinan dalam Islam bukan sahaja satu ikatan yang sah antara lelaki dan perempuan, tetapi satu mekanisme penting untuk memastikan kesinambungan generasi umat Islam. Antara tujuan utama perkahwinan adalah bagi mendapatkan zuriat, yang menjadi asas kepada kelangsungan umat Nabi Muhammad SAW. Perkahwinan adalah asas pembentukan keluarga yang membentuk masyarakat. Melalui perkahwinan, suami isteri dapat memperoleh anak yang sah dan dibesarkan dalam lingkungan berlandaskan ajaran Islam.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) daripada diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya Hawa), dan juga yang membiakkan daripada keduanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu." (Surah al-Nisa' ayat 1)

Ayat ini menunjukkan perkahwinan adalah cara memastikan kelangsungan zuriat sah dan berkat. Anak yang lahir daripada perkahwinan yang sah akan membesar dalam suasana yang penuh dengan nilai Islam, seterusnya membentuk generasi beriman dan berakhlak mulia.

Nabi Muhammad SAW menggalakkan umatnya untuk berkahwin dan melahirkan anak sebagai cara meningkatkan populasi umat Islam. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Nikahilah wanita yang penyayang dan subur kerana aku akan berbangga dengan jumlah umatku yang banyak di hari kiamat." (Hadis Riwayat Abu Daud)

Hadis ini menekankan bahawa mendapatkan zuriat melalui perkahwinan bukan sahaja penting untuk kelangsungan umat Islam di dunia, tetapi juga akan menjadi kebanggaan Nabi Muhammad SAW di akhirat. Ia menunjukkan bahawa memiliki zuriat adalah tanggungjawab yang besar dan mulia.

Apatah lagi zuriat yang lahir daripada perkahwinan juga berpotensi menjadi pemimpin masa depan dan penyebar ajaran Islam. Melalui didikan yang baik dan berlandaskan ajaran Islam, anak membesar menjadi individu beriman, berilmu dan berakhlak mulia. Mereka akan meneruskan perjuangan menyebarkan dakwah Islamiah dan memimpin masyarakat ke arah kebaikan. Di samping itu, perkahwinan dan mendapatkan zuriat adalah sebahagian daripada fitrah manusia dan sunah Nabi Muhammad SAW.

Perkahwinan bukan sahaja menjaga kesucian diri dan moral individu, tetapi juga memenuhi fitrah semula jadi manusia untuk memiliki pasangan dan anak. Melalui perkahwinan, keperluan emosi dan fizikal manusia dipenuhi secara sah dan mulia. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Wahai para pemuda, sesiapa yang mempunyai kemampuan di antara kamu, maka hendaklah dia bernikah. Kerana pernikahan itu lebih menundukkan pandangan dan lebih memelihara kemaluan." (Hadis Riwayat Bukhari)

Anak adalah anugerah yang sangat berharga dalam kehidupan sesebuah rumah tangga. Mendapat zuriat bukan sahaja melengkapkan institusi perkahwinan, tetapi juga membawa pelbagai kelebihan dan peranan yang penting dalam kehidupan keluarga. Anak sering dianggap sumber kebahagiaan dan ketenangan dalam rumah tangga. Kehadiran mereka membawa keceriaan dan mewujudkan suasana yang penuh kasih sayang. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir." (Surah al-Rum, ayat 21)

Anak adalah penerus legasi keluarga dan agama. Mereka mewarisi nilai, adat dan kepercayaan yang dipegang oleh keluarga. Dalam Islam, anak yang dididik dengan baik akan meneruskan amalan dan ajaran agama, menjadikan mereka pelanjut syariat Islam. Mendapat zuriat juga sumber pahala dan kebaikan bagi ibu bapa. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: "Apabila mati anak Adam, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis Riwayat Muslim)

Kehadiran anak juga meningkatkan rasa tanggungjawab dan kesedaran ibu bapa. Mereka akan berusaha untuk menjadi contoh yang baik, bekerja keras menyediakan kehidupan yang selesa dan penuh kasih sayang untuk anak mereka. Anak memainkan peranan penting dalam mengukuhkan ikatan kekeluargaan. Kehadiran mereka mengeratkan hubungan suami dan isteri serta adik-beradik. Malah, anak dalam sesebuah rumah tangga membantu memupuk rasa tanggungjawab dan kerjasama. Mereka belajar untuk membantu kerja rumah, menjaga adik-beradik yang lebih kecil dan bekerjasama dalam menyelesaikan masalah keluarga. Ini membentuk sikap tanggungjawab dan kepedulian.

Anak juga menjadi pendorong ibu bapa untuk berusaha lebih keras dalam kehidupan. Ibu bapa ingin memberikan yang terbaik untuk anak-anak, sama ada dalam pendidikan, kesihatan atau kesejahteraan. Ini mendorong mereka bekerja lebih keras, menjadi lebih bertanggungjawab demi memastikan anak-anak menjadi pewaris nilai dan tradisi keluarga.

Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Pusat Pendidikan Universiti Malaya, Bachok, Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 7:01 AM