Mohd Fahmi Mohd Yusof


SULTAN Johor Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menerima kunjungan rombongan Exco Persekutuan Persatuan Permotoran Malaysia (GPMOTO) di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru, hari ini.

Rombongan diketuai Presidennya Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) Datuk Seri Abdul Jalil Hamid.

Kunjungan Exco GPMOTO menghadap Sultan Ibrahim sempena persiapan Minggu Permotoran Malaysia (MBW) 2018 yang dijadualkan berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang, Selangor pada 23 hingga 25 Mac ini.

Sultan Ibrahim berkenan menunjukkan tujuh model motosikal berkuasa tinggi Harley-Davidson termasuk sebuah motosikal kesayangan baginda kepada rombongan berkenaan.

ANTARA koleksi peribadi motosikal berkuasa tinggi milik Sultan Ibrahim. FOTO Mohd Azren Jamaludin
ANTARA koleksi peribadi motosikal berkuasa tinggi milik Sultan Ibrahim. FOTO Mohd Azren Jamaludin

Baginda kemudian menunjukkan koleksi kenderaan peribadi di Istana Bukit Serene selain trak Mack serta kereta beroda tiga Morgan dari Britain yang digunakan baginda pada Kembara Mahkota Johor (KMJ) tahun lalu.

Ab Rauf berkata, beliau mewakili Exco GPMOTO menjunjung kasih kepada Sultan Ibrahim kerana sudi meluangkan masa hampir dua jam bagi menunjukkan koleksi kenderaan baginda yang akan turut dipamerkan pada MBW 2018 nanti.

“Tuanku berkenan mempamerkan koleksi kenderaan peribadi bagi menjadi tarikan kepada orang ramai untuk datang. Selama ini baginda juga menggunakan kaedah permotoran untuk memikat hati rakyat dan memberi kesan mendalam pada rakyat Johor.

“Beruntunglah rakyat Malaysia yang hadir pada MBW 2018 nanti dapat melihat koleksi peribadi Sultan Johor kerana saya diberitahu baginda ada koleksi yang terlalu peribadi buat Tuanku.

“Kami juga menjunjung kasih kepada baginda yang begitu mesra dengan semua Exco GPMOTO dengan melayan kami,” katanya ketika ditemui di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.

SULTAN Ibrahim (tengah) menunjukkan koleksi motosikal baginda kepada Ab Rauf (kiri) dan Abdul Jalil (tiga kanan) di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru, hari ini. FOTO Mohd Azren Jamaludin
SULTAN Ibrahim (tengah) menunjukkan koleksi motosikal baginda kepada Ab Rauf (kiri) dan Abdul Jalil (tiga kanan) di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru, hari ini. FOTO Mohd Azren Jamaludin

Katanya, dalam pertemuan itu, baginda menzahirkan harapan supaya semua rakyat dapat melihat industri permotoran yang perlu diberi perhatian semua pihak.

"Dalam permotoran biasanya kita dengar anak muda menggunakan motosikal dan terbabit dengan masalah sosial, tetapi tuanku melihat jauh daripada itu iaitu anak muda harus diberi panduan dan tunjuk ajar agar jadi generasi berguna satu hari nanti," katanya.

Pelbagai hadiah cabutan bertuah bernilai lebih RM500,000 termasuk 40 motosikal menanti orang ramai yang mendaftar acara secara dalam talian, menerusi aplikasi GPMOTO.

ANTARA koleksi peribadi Harley-Davidson milik Sultan Ibrahim. FOTO Mohd Azren Jamaludin
ANTARA koleksi peribadi Harley-Davidson milik Sultan Ibrahim. FOTO Mohd Azren Jamaludin

Media Prima Berhad selaku antara rakan media rasmi acara MBW 2018 akan turut menganjurkan konsert membabitkan barisan artis popular.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Mac 2018 @ 4:58 PM
SULTAN Ibrahim (dua kanan) menunjukkan koleksi motosikal baginda kepada Ab Rauf (kanan) dan rombongan Exco GPMOTO di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru, hari ini. FOTO Mohd Azren Jamaludin
SULTAN Ibrahim (dua kanan) menunjukkan koleksi motosikal baginda kepada Ab Rauf (kanan) dan rombongan Exco GPMOTO di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru, hari ini. FOTO Mohd Azren Jamaludin