KETUA Pengajian Seni Liberal, Dr Ahmad Kamal Basyah Sallehuddin (tiga dari kanan) bersama Azlan (empat dari kanan), Aeril dan Wawa.
KETUA Pengajian Seni Liberal, Dr Ahmad Kamal Basyah Sallehuddin (tiga dari kanan) bersama Azlan (empat dari kanan), Aeril dan Wawa.
Syafil Syazwan Jefri


JASA dan kenangan pengarah dan pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Allahyarham Azhari Zain yang meninggal dunia pada 24 November 2022 sentiasa melekat dalam ingatan mereka yang dekat dengannya.

Bagi mengenang jasanya, Kelab Cinemove yang diwujudkan di Pusat Pengajian Seni Liberal UiTM Puncak Perdana menganjurkan tayangan pratonton filem terakhir arahannya, Abnormal: Buas.

Penasihat Kelab Cinemove, Azlan Syah Rashid berkata, pratonton 30 minit itu tanda penghargaan untuk filem yang diarahkannya.

"Kali pertama acara Cinemove dianjur semester lalu, kami tayangkan filem Mar Rak karya Datuk TS Jeffry.

"Kali ini, bagi memperingati pemergian pengarah yang juga tenaga pengajar di sini iaitu Allahyarham Azhari Zain, kami tayangkan pratonton 30 minit filem terakhir arahannya itu.

"Di sini, terlalu banyak nama anak-anak didik Azhari kalau saya nak sebutkan. Kami sebagai pelajarnya terbabit secara langsung dengan industri perfileman sebagai pembikin. Kerana itu kami mengangkat karya terakhirnya," katanya.

Azlan yang juga bekas pelajar Azhari berkongsi semangat Azhari yang mesra dengan panggilan Abang Zack dalam memperjuangkan kerja seni filem.

"Arwah mengajar saya sejak pengajian diploma pada 2003. Dia sentiasa beri inspirasi luar biasa kepada kami dan pemikiran ditanamkan dalam setiap daripada kami untuk menjadi 'from zero to hero'.

"Semangatnya melangkaui bilik darjah. Apa yang disampaikan bukan saja ilmu perfileman, tetapi kehidupan. Dia bahasakan dirinya sebagai abang dan saya kini turut mengambil langkah sama dalam proses pembelajaran dengan pelajar saya.

"Selain pembakar semangat, Abang Zack dapat saya gambarkan sebagai individu penyayang, pemurah dan tidak lokek ilmu. Malam ini adalah malam untuk kami mengenang kembali pengorbanannya," katanya.

Berkongsi mengenai Kelab Cinemove yang belum berusia setahun, Azlan dan pasukannya memacu kelab ke satu hala tuju serta matlamat yang besar.

"Cinemove usianya belum sampai setahun. Kalau boleh kami nak anjurkan acara tayangan filem setiap semester dan tak mustahil ia dibuat beberapa kali dalam satu semester.

"Selain buka peluang untuk pelajar mendekati filem berkualiti yang ditayangkan, ini juga dapat menjana pendapatan menerusi penjualan tiket. Cumanya, untuk malam ini kami tak jual tiket kerana hanya pratonton 30 minit.

"Ini kali kedua acara Cinemove dianjurkan. Tujuannya untuk mewujudkan komuniti filem dalam kalangan pelajar.

"Jadi, kami bawa filem ditayangkan di pawagam atau platform OTT seperti Netflix dan sebagainya untuk 'singgah' di sini dan pada masa, mempromosikan karya itu di platform ini," katanya.

Membawa konsep asal seperti mana wayang pacak yang popular satu ketika dulu, Cinemove menawarkan penambah baikan dari sudut teknikal.

"Konsep asalnya lebih kepada wayang pacak sebenarnya. Tapi, disesuaikan dengan zaman, kami menambah baik dari sudut teknikal menjadikannya penayangan secara digital.

"Visi kami untuk wujudkan panggung yang lebih wajar untuk tayangan filem.

"Malam ini saja, ada 280 penonton termasuk pelajar di bawah Pengajian Seni Liberal. Kami juga menjemput pelajar lepasan diploma untuk turut serta," katanya.

Bagi meneruskan legasi Cinemove menjadi acara berterusan, pihaknya juga kini bekerjasama dengan badan dan individu supaya dapat melebarkan sayap mereka.

"Kami bekerjasama dengan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) dan bekerja rapat dengan bekas Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Mohd Mahyiddin Mustakim untuk mempromosikan acara ini.

"Keutamaan kami untuk promosikan acara ini kepada penerbit dulu, kemudian kami tambah baik kemudahan di sini," katanya.

Turut hadir di acara itu adalah Ketua Penerbit Abnormal: Buas, Shariman Wahab, pelakon utamanya, Aeril Zafrel dan Wawa Zainal serta isteri Azhari, Wahizatul Nureen Azmi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 6:45 AM