FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Dr Izham Hakimi Redzan

Baru-baru ini Malaysia digemparkan dengan kes pembunuhan seorang yang berlatar belakangkan Jemaah Islamiyah (JI) yang mengikut ajaran Wahabi esktrim. Golongan radikal ini pada dasarnya didoktrinkan dengan pemahaman salafi jihadism.

Jika dibandingkan ideologi kumpulan ini dengan perundangan Islam (fiqh) yang muktabar (yakni 4 mazhab), ia jauh menyimpang, bahkan jauh menyimpang daripada ajaran Islam. Ideologi ini tidak akan mati jika tidak dihentikan dengan hujah dan bayan (penerangan) jelas bagaimana Islam memahami konsep jihad.

Bagi penulis, walaupun penguatkuasaan dan pemerkasaan dipertingkatkan ia tidak dapat memberi kesan holistik untuk pembanterasan penularan ideologi ini. Ia kerana ideologi salah perlu dimatikan dengan ideologi betul secara hujah, bayan dan berhikmah.

​Kebanyakan hasil dapatan siasatan mengatakan sebab radikal dan ektrimis ini berpunca salah faham terhadap konsep jihad yang boleh membawa keganasan, pembunuhan dan menghalalkan darah manusia. Antara faktor salah faham golongan ini terhadap konsep jihad adalah:

Pertama, pemahaman konsep daulah (negara). Golongan ini memahami bahawa negara konsepnya terbahagi kepada dua pembahagian sahaja, sama ada negara Islam atau negara kafir. Negara Islam ialah negara yang menunaikan hukum hudud, semua ahlinya menutup aurat dan hukum Islam terlaksana seratus peratus, yakni pemimpin yang tidak menzahirkan kepimpinan mereka seperti hukum dituntut oleh Allah maka mereka adalah kafir. Jika ciri yang disebutkan ini tidak ada pada sesebuah negara itu, maka negara itu dianggap negara kafir dan dar al- arb (negeri peperangan). Oleh itu, boleh dilaksanakan undang-undang yang ada dalam negara peperangan seperti setiap perempuan ada di negeri perang adalah sabāyā (wanita-wanita tawanan perang) yang boleh dikahwini tanpa akad nikah, harta-harta yang ada di negeri perang boleh diambil begitu sahaja kerana ia adalah ganīmah (harta rampasan perang), halal darah sesiapa yang menentang golongan kerana mereka memerintah dengan pemerintahan orang kafir, pemimpin yang sedia ada bukanlah pemimpin yang layak dan perlu untuk dijatuhkan untuk menaikkan khalifah.

Sudah tentu pembahagian negara seperti yang difahami golongan ini adalah salah. Dalam memahami konsep negara Islam, boleh diketengahkan contoh kehidupan masyarakat Islam kepada empat contoh seperti yang disebutkan oleh Allamah Sheikh Ali Jumaah.

Pertama, contoh masyarakat Islam di Makkah dalam keadaan pemerintahan menolak Islam. Kedua, contoh masyarakat Islam di Habsyah dalam keadaan aman damai di bawah pemerintah bukan Islam.

Ketiga, contoh kehidupan masyarakat Islam pada era awal Madinah yang hidup dalam pelbagai jenis bangsa.

Keempat masyarakat Islam pada era akhir Madinah sehinggalah kewafatan Nabi SAW yang juga semua masyarakatnya terdiri daripada orang Islam. Dunia sekarang tidak sepi daripada kependudukan masyarakat bukan Islam di sesebuah negara. Oleh itu, perlu diiktibarkan apa yang dipraktikkan dalam contoh yang ketiga yang bersesuaian dengan kehidupan sekarang.

Faktor yang kedua, pemahaman golongan ini secara literal (zahir) nas al-Quran dan hadis. Contohnya hadis: "Aku diperintahkan untuk memerangi manusia) hingga mereka bersaksi bahawa tidak ada sembahan yang hak selain Allah." HR al-Bukhari.

Maksud manusia di dalam hadis seperti yang disebutkan oleh para ulama adalah orang kafir Makkah yang memerangi Nabi SAW. Selain itu, lafaz hadis yang menggunakan wazan muf ā'alah iaitu 'qātala' bukan lafaz 'qatala' menjelaskan bahawa jihad disyariatkan adalah merujuk kepada makna jihād ad-daf' (jihad mempertahankan diri daripada musuh) bukan jihad memerangi musuh. Sedia maklum dalam bahasa Arab, wazan muf ā'alah memberi makna mushārakah (perbuatan yang berlaku di antara dua belah pihak), yakni mempertahankan diri daripada diserang musuh.

Dalam ilmu sirah Nabi SAW, disyariatkan jihad ketika Nabi berada di Madinah daripada kemaraan musuh menakluki Madinah. Tidakkah Perang Badar berlaku di kawasan Madinah yang juga perang pertama dalam Islam bertujuan menuntut semula harta yang ditinggalkan oleh orang Islam di Makkah yang telah didagangkan oleh Quraisy di Syam bertujuan memerangi orang Islam di Madinah. Tidakkah berlaku peperangan Uhud yang juga kawasan berhampiran dengan Madinah berukuran 10 kilometer. Tidakkah berlaku peperangan Khandaq yang mana digali parit di sekeliling Madinah bagi mempertahankan diri daripada musuh yang terdiri daripada masyarakat Yahudi Madinah yang bersepakat dan bersubahat bersama kafir Quraisy untuk menawan kota Madinah.

Faktor ketiga salah fahaman terhadap konsep jihad menerusi hadis Imam Mahdi. Diriwayatkan oleh Thaubān, Nabi SAW bersabda: "Akan berperang tiga orang di sisi perbendaharaan mu, mereka semua ialah anak khalifah, tetapi tak seorang pun di antara mereka yang berhasil menguasainya. Kemudian muncullah bendera hitam dari arah timur, lantas mereka membunuh kamu dengan suatu pembunuhan yang belum pernah dialami oleh kaum sebelummu. Lalu Nabi SAW berkata: (Maka jika kamu melihatnya, berbaiatlah walaupun dengan merangkak di atas salji, kerana dia adalah khalifah Allah al-Mahdi." (HR al-Hakim)

Hadis ini juga sering menjadi hujah golongan radikal untuk bersiap sedia berperang kerana tidak lama lagi akan muncul Imam Mahdi yang ditunggu dan akan memerangi golongan kafir. Perkara berkaitan dengan Imam Mahdi ialah satu perkara yang benar seperti dikhabarkan oleh Nabi SAW dalam banyak hadis yang sampai peringkat mutawatir dari segi makna bagi pendapat sebahagian ulama.

Akan tetapi, mencari siapakah Imam Mahdi sebenarnya itu ialah perkara yang mubham (samar-samar). Oleh itu, perkara yang bukan samar-samar lagi ialah wajib mentaati pemimpin Islam berdasarkan nas al-Quran dan as-Sunnah. Berkata Imam Ahmad Zarruq (w.899/1493):

Pada hakikatnya perkara ini (dalam menyatakan siapa al-Mahdi itu) perkara yang tidak jelas. Adapun menyibukkan diri (mencari siapa Imam al-Mahdi) maka ia adalah perkara yang berpanjangan kerana ada banyak kesamarannya dan tidak pula diwajibkan ke atas kita untuk mencarinya. Katakanlah jika beliau (Imam al-Mahdi) berada di kota kamu, tidakkah diwajibkan ke atas kamu untuk mentaati pemerintahmu? Oleh itu, tidak boleh ke atas kamu keluar daripada ketaatan pemerintahmu dan tidak pula boleh kamu keluar untuk mengikuti dia (al-Mahdi) kerana tanggungjawab kamu adalah mengikuti perintah pemimpin mu. Ini jika perkara ini benar-benar berlaku, tambah pula jika perkara tentang zahirnya (Imam al-Mahdi) itu perkara yang samar-samar kebenarannya dan tidak kita mengetahui bilakah pengakhiran dunia ini. Punca kepada masalah ini (yakni pendakwaan keluar berperang dan berjihad bersama Imam al-Mahdi pada akhir zaman) adalah keinginan kepada kekuasaan dan kebencian kepada pemimpin. Perkara ini satu tanda cinta kepada dunia. Ia adalah hakikat melakukan perkara sia-sia.

Faktor keempat, hakikat jihad dan peperangan ialah hak ijtihad al-Imam (pemimpin negara). Oleh itu, masyarakat perlu mentaati keputusan pemimpin negara dalam memutuskan peperangan atau tidak. Ia kerana keizinan pemimpin dalam memutuskan jihad atau peperangan dapat mengelakkan kecelaruan dan huru-hara tanpa dapat mengkaji dahulu kekuatan musuh, keadaan peperangan dan kekuatan ketenteraan pejuang ketenteraan.

Begitu juga keluar untuk berperang tanpa izin pemimpin negara boleh membawa mafsadah (kerosakan) kepada negara Islam seperti yang disebutkan oleh Imam al-Mazari (w.536/1141): "Sesungguhnya keluar berperang tanpa izin Imam (pemimpin negara) dengan berpegang kepada pendapat beberapa orang boleh membawa kelemahan kepada umat Islam. Perkara ini juga boleh meluaskan pergerakan musuh dan meluaskan daerah peperangan yang tidak dapat untuk dikendalikan oleh tentera Islam (untuk mengembalikan ketenteraman dan keamanan negara Islam)."

Penulis Felo Penyelidik, Institut Islam Hadhari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 7:01 AM