Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohammad Anuar.
Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohammad Anuar.

Kuala Lumpur: Co-opbank Pertama (CBP) memperkenalkan Skim Pembiayaan Perniagaan Kecil (SBF) bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata, SBF adalah inisiatif yang diambil oleh CBP untuk membantu usahawan dalam semua bidang ekonomi terutama sektor ekonomi yang berpotensi tinggi di Malaysia.

Katanya, menerusi SBF, CBP menawarkan kemudahan pembiayaan minimum RM5,000 dan maksimum sehingga RM100,000 dengan tempoh pembiayaan sehingga tujuh tahun.

"Jenis kemudahan yang ditawarkan di bawah Skim Pembiayaan Perniagaan Kecil adalah bagi keperluan perbelanjaan modal kerja, modal pusingan, pembelian aset, mesin, peralatan dan pengubahsuaian premis perniagaan.

"Skim ini terbuka kepada semua warga Malaysia berumur di antara 21 hingga 65 tahun dan pemohon mesti menjalankan perniagaan yang patuh syariah dan berdaya saing," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, antara syarat lain ialah perniagaan sudah beroperasi sekurang-kurangnya selama dua tahun dan tidak melebihi 30 kilometer radius dari mana-mana cawangan CBP.

Beliau berkata, pengenalan SBF juga sebagai langkah CBP meluaskan lagi capaian sasaran sedia adanya.

Selain itu, katanya CBP akan terus memperkenalkan beberapa lagi perkhidmatan pada tahun ini yang dilihat mampu mengukuhkan lagi jenama CBP dalam kalangan masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2024 @ 7:18 AM