Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Urut badan sebelum ke ranjang. Itu modus operandi sebuah premis pelacuran di Jalan Pasar Baru, di sini, yang beroperasi sejak 30 tahun lalu dan mengenakan bayaran RM80 hingga RM150 untuk satu jam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan sebuah premis pelacuran dalam Operasi Khasdi Jalan Pasar Baru, di sini, kelmarin.

Menurutnya, operasi bermula pada jam 10.20 malam membabitkan pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Perak.

"Berdasarkan aduan awam dan risikan yang dijalankan selama tiga minggu, pasukan operasi diatur gerak ke premis dan menahan 37 wanita warga Vietnam, tiga wanita warganegara Indonesia, seorang wanita warganegara Myanmar, lima lelaki warganegara Bangladesh, dua lelaki warganegara Vietnam, seorang lelaki warganegara India, seorang lelaki warganegara Pakistan dan seorang lelaki warganegara Indonesia.

"Semua 51warganegara asing yang ditahan berusia dalam lingkungan usia 24 hingga 54 tahun," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ruslin berkata, pasukan operasi merampas 19 pasport Vietnam, dua pasport Bangladesh, empat empat botol minyak urut dan kondom.

"Modus operandi kegiatan adalah menawarkan perkhidmatan urutan badan dan aktiviti pelacuran kepada warganegara asing dan tempatan.

"Perkhidmatan urutan badan dijalankan di tingkat bawah premis manakala aktiviti pelacuran dijalankan di tingkat satu," katanya.

Beliau berkata, pelanggan akan memilih perempuan warganegara asing untuk dilanggan dan bayaran akan dilakukan di dalam bilik di tingkat yang lain.

"Semasa serbuan dilakukan wanita warganegara asing yang berada di premis cuba melarikan diri mengikut pintu belakang dan bersembunyi namun segala usaha ini berjaya dipatahkan oleh anggota serbuan.

"Terdapat juga pelanggan yang cuba melakukan provokasi dengan membuat bising dan cuba menghalang anggota melakukan penggeledahan namun tindakan itu turut berjaya dipatahkan," katanya.

Katanya, semua warganegara asing ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta imigresen 1959/63, Peraturan-Peraturan Imigresen 1966, Akta Pasport 1966 dan ditahan di Depot Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

"Seramai lima lelaki tempatan diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 2:17 PM
JABATAN Imigresen Malaysia menyerbu sebuah premis pelacuran di di Jalan Pasar Baru, Kuala Lumpur dan menahan 51 orang kelmarin. FOTO Ihsan JIM.
JABATAN Imigresen Malaysia menyerbu sebuah premis pelacuran di di Jalan Pasar Baru, Kuala Lumpur dan menahan 51 orang kelmarin. FOTO Ihsan JIM.