ANTARA 24 wanita warga asing yang menawarkan urutan rangsangan ditahan  dalam serbuan ops Mega 3.0 di  Muar, Johor.
ANTARA 24 wanita warga asing yang menawarkan urutan rangsangan ditahan dalam serbuan ops Mega 3.0 di Muar, Johor.
Mohd Azam Shah Yaacob

Kuala Lumpur: Seramai 24 wanita dan tiga lelaki warga asing ditahan penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam operasi penguatkuasaan Ops Mega 3.0 dijalankan di lapan pusat urut di Jalan Bakri, Muar, Johor kelmarin.

Serbuan dijalankan Unit Operasi Khas (QRT), Bahagian Perisikan, Operasi Khas dan Analisa, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya bersama Unit Penguatkuasa Imigresen Muar, Johor itu berjaya menahan 15 wanita Thailand, enam wanita dan dua lelaki Vietnam, dua wanita serta seorang lelaki China selain seorang wanita Myanmar.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, semua warga asing yang ditahan itu bekerja di pusat urutan berkenaan tanpa pas sah dan turut menawarkan pakej urutan serta rangsangan batin kepada pelanggan yang berminat dengan bayaran tertentu.

Katanya, selain warga asing, JIM turut menahan lima lelaki dan seorang wanita tempatan dipercayai pemilik premis pusat urut di situ, selain antaranya bekerja sebagai penyelia serta juruwang pusat urut yang diserbu.

“Menerusi siasatan dijalankan, pusat urut yang diserbu itu menawarkan pakej urutan badan bersama urutan batin dengan harga antara RM100 hingga RM150.

ANTARA  wanita warga asing yang ditahan.
ANTARA wanita warga asing yang ditahan.

“Pelanggan hanya akan dibenarkan melihat dan memilih wanita warga asing yang disediakan sebaik bersetuju dengan bayaran dikenakan.

“Kebanyakan wanita berkenaan tinggal di tingkat atas premis pusat urut berkenaan dan hanya akan turun apabila dipanggil pemilik, penyelia atau juruwang yang bertugas,” katanya di sini.

Mustafar berkata, kebanyakan yang ditahan didapati melanggar syarat pas serta lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1955/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Beliau berkata, semua tahanan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Pekan Nenas, Johor untuk siasatan dan tindakan susulan.

“JIM menyeru agar orang ramai tampil menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui mengenai kegiatan tidak bermoral dan aktiviti yang menyalahi undang-undang di kawasan mereka agar ia dapat dibanteras.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Ogos 2018 @ 11:28 AM