Seramai 72 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia dalam serbuan di lima premis sekitar Cheras dan Kepong, Khamis lalu. FOTO ihsan Jabatan Imigresen
Seramai 72 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia dalam serbuan di lima premis sekitar Cheras dan Kepong, Khamis lalu. FOTO ihsan Jabatan Imigresen
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Guna kata laluan sebelum dibenarkan masuk ke premis. Itu modus operandi digunakan sindiket pelacuran di beberap premis di Cheras dan Kepong.

Pelanggan yang mahu melanggan wanita yang disediakan dikenakan bayaran bermula RM230 dan diberi pilihan bilik bergantung kepada tempoh tempahan.

Bagaimanapun, kegiatan sindiket itu dihidu Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya apabila 72 individu ditahan di lima premis, Khamis lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pihaknya turut menahan tujuh lelaki tempatan yang bertindak sebagai 'kapten' dan penjaga premis.

"Operasi khas ini dijalankan berdasarkan maklumat dan risikan selama satu bulan ke atas sindiket yang membekalkan wanita warga asing untuk seks di sekitar kawasan Kuala Lumpur.

"Pasukan operasi menyerbu lima premis sindiket dan menahan 72 warga asing yang terdiri daripada empat lelaki Vietnam, tiga lelaki Bangladesh, seorang lelaki India, 43 wanita Vietnam, 15 wanita Indonesia dan 6 wanita Thailand yang berusia di antara 25 hingga 42 tahun.

"Wanita warga asing yang ditahan menyediakan perkhidmatan seks kepada pelanggan dan turut berada di premis semasa serbuan ialah beberapa orang pelanggan warga tempatan," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati mereka melakukan pelbagai kesalahan seperti tidak memiliki dokumen perjalanan sah, Pas Lawatan Sosial (PLS) tamat tempoh dan menyalahgunakan pas lawatan.

"Sindiket ini beroperasi di premis perniagaan tiga tingkat dengan menjadikan tingkat satu sebagai tempat tinggal manakala tingkat dua dan tingkat tiga sebagai tempat khidmat seks.

"Modus operandi sindiket adalah mana-mana pelanggan yang ingin mendapatkan khidmat seks akan berurusan melalui aplikasi WhatsApp dan pelanggan tersebut akan diberikan kata laluan untuk masuk ke dalam premis. Tanpa kata laluan pelanggan tidak dibenarkan masuk oleh penjaga premis,"katanya.

Ruslin berkata, pelanggan diberikan pilihan mengikut kategori bilik dan jumlah jam tempahan.

"Sindiket ini dipercayai beroperasi selama hampir dua tahun dan mengiklankan perkhidmatan seks di kumpulan laman sosial, WhatsApp dan Telegram.

"Serbuan merampas 48 pasport Vietnam yang berada di premis dan sebuah kenderaan jenis SUV berwarna kelabu. Kenderaan berkenaan dipercayai digunakan untuk menghantar wanita warga asing ke tempat yang dipilih oleh pelanggan.

"Turut dirampas wang tunai sebanyak RM6,275 dipercayai hasil bayaran khidmat seks di premis. Seramai 20 orang lelaki tempatan dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan," katanya.

Katanya, semua warga asing yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Semenyih untuk tindakan dan siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Paspot 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Jun 2023 @ 12:24 PM