ANTARA wanita warga asing yang ditahan dalam serbuan di dua premis di Bukit Bintang dan Cheras, Kuala Lumpur, semalam.
ANTARA wanita warga asing yang ditahan dalam serbuan di dua premis di Bukit Bintang dan Cheras, Kuala Lumpur, semalam.
Oleh Nurul Hidayah Bahaudin


PEMEGANG kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) antara 36 warga asing termasuk wanita yang bekerja sebagai tukang urut ditahan dalam serbuan di dua premis di Bukit Bintang dan Cheras, di sini, semalam.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Datuk Khairul Dzaimee berkata, serbuan pertama bermula jam 2.30 petang dilakukan di sebuah pusat urut popular dalam kalangan pelancong di Bukit Bintang.

“Ketika serbuan dilakukan, warga asing yang bekerja sebagai tukang urut cuba melarikan diri melalui pintu belakang premis, namun pergerakan itu digagalkan oleh pegawai imigresen yang sudah membuat kepungan awal.

“Kami menahan 10 wanita dan empat lelaki warga Myanmar dan seorang lelaki warga Filipina yang disyaki bekerja tanpa pas sah di premis berkenaan. Selain itu, wang tunai sebanyak RM770 yang disyaki kutipan hasil aktiviti pelacuran turut dirampas.

“Hasil pemeriksaan dilakukan mendapati kebanyakan tukang urut hanya mempunyai kad pelarian UNHCR,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, lokasi kedua diserbu adalah premis pelacuran yang berselindung di sebalik pusat refleksologi dan spa dalam bangunan hotel tiga bintang di Cheras.

“Ketika serbuan, wanita warga asing di premis itu tidak memberikan kerjasama dan mengunci pintu dari dalam sehingga pegawai imigresen terpaksa memecahkan pintu bagi membuat pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan dilakukan, seramai 21 wanita terdiri daripada 10 warga Vietnam, lima warga Indonesia, empat warga Thailand dan dua warga Laos ditahan.

“Pelanggan yang mahu mendapatkan khidmat seks di premis itu perlu membuat tempahan lebih awal melalui aplikasi pada telefon bimbit. Perkhidmatan seks dikenakan bayaran antara RM195 hingga RM220 bagi tempoh masa 45 minit,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 10 borang saman kepada saksi dikeluarkan di dua lokasi itu untuk penyelia dan juga pelanggan yang berada dalam premis ketika serbuan bagi membantu siasatan lanjut.

“Penyalahgunaan kad UNHCR bagi tujuan aktiviti tidak bermoral dan menyalahi undang-undang adalah kesalahan serius dan JIM akan mencadangkan supaya kad UNHCR mereka yang terbabit dibatalkan.

“Antara kesalahan dikenal pasti adalah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain yang melanggar Akta Imigresen.

“Mereka yang ditahan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan mengikut Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 January 2020 @ 6:48 PM