ANTARA wanita warga asing yang ditahan dalam serbuan dilakukan Jabatan Imigresen di sebuah pusat urut di Kota Damansara, Petaling Jaya, kelmarin. FOTO IHSAN IMIGRESEN
ANTARA wanita warga asing yang ditahan dalam serbuan dilakukan Jabatan Imigresen di sebuah pusat urut di Kota Damansara, Petaling Jaya, kelmarin. FOTO IHSAN IMIGRESEN
Nurul Hidayah Bahaudin


GUNA aplikasi WeChat untuk mempromosikan kegiatan pelacuran. Itu taktik dikenal pasti digunakan sebuah pusat urut di Kota Damansara, Petaling Jaya bagi mendapatkan pelanggan di kalangan lelaki ‘hidung belang’.

Bagaimanapun, taktik itu terbongkar apabila sepasukan 19 pegawai Unit Quick Response Team (QRT), Unit Operasi Khas, Bahagian Perisikan Operasi Khas dan Analisa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyerbu premis terbabit pada 10 malam Isnin lalu.

Ketua Pengarah JIM Datuk Seri Mustafar Ali berkata, pihaknya melakukan risikan bagi mengesahkan aduan dan modus operandi aktiviti pelacuran di pusat urut itu.

Menurutnya, premis terbabit pernah diserbu beberapa kali sebelum ini dengan kali terakhir serbuan dilakukan pada awal April lalu, namun masih aktif menjalankan kegiatan pelacuran.

“Maklumat awal mendapati pusat urut itu menawarkan perkhidmatan seks menggunakan aplikasi WeChat mempromosikan kegiatan pelacuran selain laman sesawang khas untuk membolehkan pelanggan membuat pilihan dan tempahan awal secara dalam talian bagi memilih pelacur.

“Bagi setiap perkhidmatan seks, pelanggan perlu membayar RM170 dan RM100 daripada bayaran itu akan diambil oleh majikan, manakala selebihnya ‘tips’ bagi pelacur terbabit hingga mampu membawa keuntungan dipercayai puluhan ribu dalam tempoh sehari,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mustafar berkata, kegiatan pelacuran itu dijalankan di tingkat satu dan dua bangunan pejabat swasta bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Hasil pemeriksaan di premis terbabit, kami menahan 18 wanita warga asing iaitu 10 warga Vietnam, lima (Indonesia) dan tiga (Thailand) berusia 20-an yang dipercayai melakukan akitiviti pelacuran.

“Ketika serbuan dijalankan, empat daripada mereka cuba melarikan diri dengan menyorok di dalam bilik rahsia, namun berjaya dikesan pegawai penguat kuasa selain beberapa wanita lain ditahan ketika bersama pelanggan di dalam bilik di premis berkenaan.

“Pemeriksaan juga mendapati premis yang tidak memiliki lesen perniagaan sah itu dalam proses pengubahsuaian bilik hingga ke tingkat empat dipercayai bagi meluaskan kegiatan berkenaan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya turut menahan lelaki berusia 30-an yang bekerja sebagai penyelia di premis itu, dan pemeriksaan mendapati dia pernah ditahan dalam operasi sebelum ini.

“Sebanyak lima notis hadir memberi keterangan dikeluarkan kepada pelanggan yang berada di dalam premis ketika serbuan dijalankan bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya, semua yang ditahan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Putrajaya selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan termasuk tiada dokumen dan tinggal lebih masa.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATISOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 April 2018 @ 3:25 PM