TANG Jie (kanan) dan Ee Wei tewas kepada Midorikawa dan Saito di pusingan kedua Terbuka Malaysia, hari ini. FOTO ASWADI ALIAS
TANG Jie (kanan) dan Ee Wei tewas kepada Midorikawa dan Saito di pusingan kedua Terbuka Malaysia, hari ini. FOTO ASWADI ALIAS
Ferzalfie Fauzi dan Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Kekecewaan jelas terpancar di wajah beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei selepas mereka gagal mengulangi pencapaian tahun lalu di Terbuka Malaysia apabila kalah di pusingan kedua kepada Hiroki Midorikawa-Natsu Saito di Axiata Arena, sebentar tadi.

Menurut Tang Jie, selepas keluar dari gelanggang, dia tidak mampu untuk meluahkan kekecewaannya selepas tumpas straight set 22-24, 14-21 kepada pasangan Jepun itu, sekali gus terlepas peluang mara ke suku akhir seperti tahun lalu.

"Kami memang rasa kecewa, sudah tentu kami boleh mempersembahkan persembahan lain dan bukan seperti ini.

"Mereka adalah pasangan yang bagus. Bagi kami mereka beraksi dengan lebih baik," kata Tang Jie yang diletakkan sebagai pilihan kelapan bersama Ee Wei.

Ujarnya, walaupun mampu mencatat kemenangan di pusingan pertama, semalam, mereka sebenarnya masih belum tenang dan dia tidak mampu untuk menghuraikan perkara itu dengan lanjut.

Sementara itu, Ee Wei mengakui dia dan Tang Jie memang tidak beraksi dengan baik hari ini, sekali gus memberi ruang buat pasangan nombor 13 dunia itu mara ke suku akhir.

Dalam pada itu, Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky jelas kecewa dengan prestasi Tang Jie-Ee Wei kerana gagal mempamerkan permainan cemerlang sejak semalam, cuma bezanya ketika mengalahkan pasangan Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue, gandingan nombor sembilan dunia itu mampu mengawal emosi.

"Hari ini apabila jumpa pasangan Jepun, mereka sudah mengawal perlawanan, tetapi pemain lawan tidak panik dan apabila gandingan lawan 'pegang' perlawanan, mereka hilang kesabaran.

"Bila Tang Jie ingin melakukan smash, ia tidak menjadi, main tak pakai otak, smash saja.

"Main dengan panik dan tidak kawal emosi. Bagi mata mudah kepada lawan. Ini tidak boleh berlaku lagi kalau pada tahap mereka sekarang," kata Rexy.

Tahun lalu, Tang Jie-Ee Wei menewaskan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing di pusingan pertama, mengejutkan pasangan Indonesia Rehan Naufal Kusharianto-Lisa Ayu Kusumawati di pusingan kedua sebelum akur dengan kehebatan pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai di suku akhir.

Berdasarkan perancangan awal, Tang Jie-Ee Wei akan beraksi di Terbuka India, minggu hadapan disusuli Thailand Master pada hujung bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2024 @ 4:10 PM