TANG Jie (kiri) dan Ee Wei diletakkan sebagai pilihan utama di Masters Malaysia, bermula esok. FOTO ARKIB NSTP
TANG Jie (kiri) dan Ee Wei diletakkan sebagai pilihan utama di Masters Malaysia, bermula esok. FOTO ARKIB NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mengakui tidak sabar untuk bermain di laman sendiri kerana ia memberi aura berbeza.

Diletakkan sebagai pilihan pertama di Masters Malaysia yang akan membuka tirainya esok, Tan Jie mengakui sokongan daripada penonton memberi satu semangat luar biasa.

Suasana itu mampu untuk menjadi pemangkin kepada mereka mengatur langkah dalam memburu kejuaraan.

"Main di laman sendiri untuk kami ia satu motivasi sebab satu tahun boleh main dua kali saja di tempat sendiri (Terbuka Malaysia dan Masters Malaysia).

"Inilah peluang untuk penyokong datang melihat kami dan kami nak berikan yang terbaik untuk mereka," kata Tan Jie yang ditemui ketika sesi menguji gelanggang sebelum Masters Malaysia bermula di Axiata Arena.

Kejohanan Jelajah Dunia BWF Super 500 itu dianggap sebagai medan untuk menguji kekuatan mental Tang Jie-Ee Wei dalam persiapan menuju ke Sukan Olimpik Paris 2024, sekali gus menyerlahkan potensi mereka untuk menjadi pencabar.

Biarpun diletakkan sebagai pilihan pertama, Tan Jie berkata, ia bukan tiket untuk mereka mengambil mudah lawan dan apa yang berlaku ketika Terbuka Thailand memberi gambaran sebenar keadaan perlawanan.

Dalam aksi final Terbuka Thailand semalam, gandingan tuan rumah yang juga pemain di ranking keenam dunia Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai tewas kepada gandingan baharu dari China, Guo Xin Wa-Chen Fang Hui dan perkara itu harus dijadikan iktibar.

Tang Jie-Ee Wei akan membuka tirai saingan Masters Malaysia menentang pasangan ranking ke-46 dunia dari Thailand, Pakkapon Teeraratsakul-Phataimas Muenwong di pusingan pertama.

Pada edisi tahun lalu, Tang Jie-Ee Wei tersingkir di pusingan pertama selepas tewas di tangan pasangan Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari dalam pertarungan tiga set.

Kali terakhir wakil Malaysia muncul juara Masters Malaysia dalam acara beregu campuran adalah menerusi Tan Kian Meng-Lai Pei Jing pada 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2024 @ 7:07 PM