NOVA Widianto. -FOTO NSTP
NOVA Widianto. -FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto mengharapkan anak buahnya, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei bermain seperti biasa apabila berdepan rakan senegara yang juga pasangan profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai di pusingan kedua Masters Jepun.

Menurutnya, Tang Jie-Ee Wei perlu beraksi normal dan tidak perlu gementar apabila beraksi di pusingan kedua nanti sekali gus mampu untuk menempah slot ke suku akhir.

"Selepas ini mereka akan berdepan pasangan profesional negara, kalau boleh saya mahu mereka melangkah lebih jauh agar dapat mengekalkan mata selamat bagi melayakkan diri ke Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF)," katanya.

Ujar Nova, persembahan Tang Jie-Ee Wei hari ini berjalan seperti diharapkan kerana masih belum berdepan lawan yang sukar.

Tang Jie-Ee Wei yang juga pilihan kelapan, tidak berdepan masalah untuk mengetepikan pasangan kelayakan dari Taiwan, Wei Chun Wei-Nicole Gonzales Chan selepas menang 21-11, 21-10.

Soon Huat-Shevon pula mara selepas mengalahkan gandingan Scotland, Adam Hall-Julie MacPherson 21-11, 21-11.

Kedua-dua pasangan negara itu hanya pernah bertemu sekali, di mana Soon Huat-Shevon berjaya menumpaskan Tang Jie-Ee Wei 21-16, 21-16 di pusingan pertama Terbuka Korea Selatan tahun ini.

Turut mara ke pusingan kedua hari ini ialah satu lagi pasangan beregu campuran profesional, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang mengalahkan Chen Zhi Ray-Yang Ching Tun dari Taiwan 20-22, 21-13, 21-15.

Menanti mereka di pusingan kedua ialah pasangan tuan rumah yang juga pilihan keenam, Kim Won Ho-Jeong Na Eun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2023 @ 2:09 PM