Sesi pra dengar album kedua Hazama Ahmad Azmi. FOTO AMIRUDIN SAHIB
Sesi pra dengar album kedua Hazama Ahmad Azmi. FOTO AMIRUDIN SAHIB
Ridzuan Abdul Rahman

 

Petaling Jaya: Penyanyi Hazama Azmi, 40, tidak mahu mengulas isu pasangan muda yang berkahwin tetapi memilih untuk tidak mempunyai anak atas prinsip 'childfree' yang menjadi trend pada waktu ini.

Bagaimanapun, secara peribadi dia melihat keputusan ini sangat merugikan kerana anak adalah pengikat kasih sayang bagi setiap pasangan berkahwin. 

"Tapi saya tak tahu mungkin ada pasangan yang tidak mendalami erti perkahwinan sebenar. Siapa saya untuk cakap lebih-lebih, mungkin mereka ada matlamat lain dalam perkahwinan.

"Pada saya, kalau kahwin dan boleh dapat anak, biarlah ada anak, nanti bila kita nak Allah tak bagi, macam mana?" katanya ditemui pada sesi pra-dengar album terbarunya, Pujangga di kediamannya di sini, hari ini. 

Penyanyi kelahiran program realiti Akademi Fantasia ini juga tidak bersetuju apabila wujud pasangan yang mengkhianati pemberian Tuhan apabila tidak bertanggungjawab  tergamak mendera atau membuang anak yang diamanahkan kepada mereka. 

"Ada pula yang ada anak dibuang dan didera, sayang sangat sebab Tuhan bagi bukan untuk itu.

"Kadangkala bila saya dengar isu sebegini saya termenung dan terfikir kenapa Tuhan bagi dekat orang macam tu. Patut bagi pada saya yang tahu dan mahu jaga anak.

"Kita kena ingat, apa yang kita buat ada balasannya, tanggung lah nanti jika buat begitu,"katanya. 

Hazama berkahwin dengan Genervie, seorang pengarah muzik pada 14 Januari 2017, namun belum ada rezeki mempunyai anak sendiri.

Terdahulu, konsep kehidupan tanpa zuriat cukup popular di media sosial seperti TikTok, Instagram dan  YouTube sehingga ia menjadi perdebatan ramai. 

Selain dipercayai bertujuan sebahagian daripada gaya hidup, keputusan untuk tidak memiliki anak juga didorong oleh faktor ekonomi. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 8:07 PM