PENGADIL akan menjelaskan keputusan penting kepada kapten. FOTO AFP
PENGADIL akan menjelaskan keputusan penting kepada kapten. FOTO AFP
Reuters

Stuttgart: Kesatuan Bolasepak Eropah (Uefa) mengumumkan bahawa kejayaan peraturan baharu yang diperkenalkan pada Euro 2024 di mana hanya kapten boleh berbincang dengan pengadil, bakal diperluaskan ke semua pertandingan di Eropah.

Perubahan ini dilaksanakan dalam usaha untuk memudahkan komunikasi yang lebih jelas antara kapten pasukan dengan pengadil.

Pengadil akan menjelaskan keputusan penting kepada kapten dan hanya dia sahaja yang dibenarkan untuk meminta penjelasan tambahan.

Pemain lain yang tidak mematuhi peraturan ini dengan mendekati pengadil untuk menunjukkan protes atau bertindak dengan tidak hormat akan diberi amaran.

Jika kapten adalah penjaga gol, pasukan boleh mencadangkan seorang pemain di posisi lain untuk berperanan sebagai ketua pasukan sementara.

Pengarah pengadil Uefa, Roberto Rosetti menyatakan bahawa reaksi daripada kapten pasukan terhadap proses baru ini amat positif.

Beliau turut menambah bahawa pendekatan ini membantu mengurangkan kekacauan dalam aspek pengadilan, sesuatu yang dianggap baik untuk perkembangan bola sepak.

Perubahan ini juga akan diperluaskan kepada ketiga-tiga pertandingan utama kelab Uefa, termasuk Liga Juara-Juara Eropah, Liga Europa, dan Liga Konferansi Eropah, yang akan mula berlangsung minggu depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 7:53 PM