TANG Jie (kanan) dan Ee Wei bersorak kegembiraan selepas muncul juara Terbuka Orleans. FOTO BAM
TANG Jie (kanan) dan Ee Wei bersorak kegembiraan selepas muncul juara Terbuka Orleans. FOTO BAM
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pasangan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei melakar sejarah tersendiri apabila kali pertama memenangi Kejohanan Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas muncul juara Terbuka Orleans di Perancis, hari ini.

Gandingan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang mara ke final kali pertama kejohanan berstatus Super 300 itu, menewaskan pasangan Taiwan, Ye Hong-wei-Lee Chia Hsin 21-19, 21-17.

Diletakkan selaku pilihan ketujuh kejohanan, Tang Jie-Ee Wei nyata dapat beraksi dengan baik serta mempunyai keserasian apabila memerlukan masa selama 35 minit untuk menewaskan lawan mereka.

Ia adalah pertemuan kali pertama antara Tang Jie-Ee Wei dengan gandingan Taiwan itu yang menduduki ranking ke-25 dunia.

Di separuh akhir sebelum ini, Tan Jie-Ee Wei cemerlang apabila menewaskan gandingan Indonesia, Rehan Naufal-Lisa Ayu 21-10, 21-16.

Namun, kejutan besar dilakukan oleh pasangan negara yang menduduki ranking ke-26 dunia itu apabila menumbangkan juara Terbuka Switzerland dari China, Jiang Zhenbang-Wei Yaxin 21-14, 21-15 di suku akhir.

Sejak mula digandingkan pada November tahun lalu, Tang Jie-Ee Wei sering menunjukkan aksi meyakinkan dalam kejohanan disertai mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2023 @ 6:18 PM