KONTINJEN negara meraikan kejayaan meraih 35 emas.
KONTINJEN negara meraikan kejayaan meraih 35 emas.
Syafiq Aznan

Malang: Kontinjen negara di Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 boleh menarik nafas lega selepas berjaya mencapai sasaran 35 pingat emas yang ditetapkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Berbaki sehari lagi saingan, atlet karate negara, Sureeya Sankar Hari Sankar melengkapkan sasaran dengan emas ke-35 negara, petang tadi.

Sureeya meraih emas dalam acara kumite bawah 60 kilogram (kg) selepas menumbangkan atlet Thailand, Chalemporn Piwlaaiad 9-1 pada final di Pusat Konvensyen Universitas Islam Malang (UNISMA).

"Saya gembira dapat pertahankan emas yang dimenangi pada edisi 2022 sebelum ini.

"Pada saingan kelayakan tadi, pencabar cuba untuk jatuhkan saya dengan membentes kaki saya jadi saya mengalami sedikit kecederaan.

"Tetapi saya cuba kuatkan semangat untuk ke final," katanya.

Sebelum emas dimenangi Sureeya, Malaysia sudahpun menuai lima emas menerusi beberapa acara yang disertai pada hari ini.

Atlet pencak silat negara, Mohammad Firdaus Mohd Israj menghadiahkan emas dalam acara silat olahraga Putra B selepas menumbangkan pesilat Thailand, Soradet dengan keputusan 56-28.

Atlet taekwondo negara, Muhammad Syafiq Zuber pula menamatkan penantian 16 tahun kontinjen negara dalam acara kyorugi di AUG selepas meraih emas acara lelaki kyorugi bawah 87 kg di AUG 2024.

Tiga lagi emas dituai skuad olahraga menerusi kuartet 4x400meter lelaki dan wanita serta 110m lari berpagar lelaki yang dimenangi Mohd Rizzua Haizad Muhamad.

Pada edisi 2022 di Ubon Ratchathani, kontinjen negara turut melepasi sasaran awal 35 emas sebelum memintas sasaran baharu 45 emas yang diletakkan kepada mereka.

Mereka kemudiannya menutup kempen di Ubon Ratchathani dengan 49 emas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 8:14 PM