JANNA di hadapan Masjid Kampung Bukit Kechil, Simpor, Kedah.
JANNA di hadapan Masjid Kampung Bukit Kechil, Simpor, Kedah.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Saya pernah tinggal dan membesar di kampung itu. Jadi, saya ingin membantu, pada masa sama mengajak pengikut saya untuk turut serta menyumbang seikhlasnya."

Itu kata pelakon popular Janna Nick yang berkongsi mengenai proses pembangunan Kompleks Tahfiz & Anak Yatim Nurul Jannah di Masjid Kampung Bukit Kechil, Simpor, Kedah.

Janna, 29, atau nama sebenar Nurul Jannah Muner berkata, segala sumbangan orang ramai disalurkan terus ke akaun masjid tanpa mengambil sebarang kredit dalam usaha pembangunan itu.

"Saya pernah menetap dari usia 11 tahun hingga tingkatan tiga. Malah, datuk dan nenek serta kebanyakan saudara mara pun berasal dari situ.

"Jadi, ini inisiatif saya sebagai bekas penduduk di kampung itu sejak 2022 lagi. Saya tidak ambil kredit dalam usaha ini, bagi saya ini usaha orang ramai, masjid dan semua pihak.

"Disebabkan itu, saya menggunakan platform media sosial untuk meguar-uarkan dan mengajak orang ramai beramal dan menyumbang ke arah kebaikan.

"Semua sumbangan memang terus ke akaun masjid," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, sumbangan yang diterima itu turut digunakan dalam penambahbaikan masjid, manakala sebahagian daripada wang sumbangan sudah digunakan untuk membina dewan makan pelajar tahfiz.

"Malah, dewan itu juga bagi kegunaan orang masjid bagi menjana lebih banyak pendapatan untuk disalurkan dalam proses membina kompleks tahfiz.

"Orang masjid di situ kalau ada sebarang majlis, mereka tak gunakan duit sumbangan tapi mereka buat sesuatu bagi menjana pendapatan lain, contohnya, mereka buat kerisik dan jual," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 7:49 PM