ANGGOTA bomba membantu memadamkan kebakaran dua rumah milik adik-beradik di Kampung Gual Arang, Gual Sitok, hari ini. FOTO Syaherah Mustafa
ANGGOTA bomba membantu memadamkan kebakaran dua rumah milik adik-beradik di Kampung Gual Arang, Gual Sitok, hari ini. FOTO Syaherah Mustafa
Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: "Nasib baik ada cucu berusia tujuh tahun, yang menjerit memberitahu rumah terbakar kerana saya sedang nyenyak tidur ketika kejadian berlaku," luah Siti Fatimah Che Daud, 74.

Warga emas itu adalah seorang daripada pemilik rumah yang musnah dalam kebakaran di Kampung Gual Arang, Gual Sitok, di sini, dalam kejadian jam 3.59 petang, hari ini.

Siti Fatimah berkata, ketika kejadian hanya dia dan cucunya, Muhammad Naufal Basyir Mohd Fadzil berada di rumah.

"Kalau Basyir tidak menjerit, mungkin saya menjadi mangsa kerana api marak sangat cepat.

"Selepas keluar saya menjerit memanggil abang serta adik di rumah berasingan kerana beranggapan mereka juga sedang tidur ketika itu.

"Kemudian, saya berlari ke kediaman anak yang tinggal berdekatan untuk meminta tolong sebelum turut rebah kerana diri sendiri juga tidak begitu sihat dan uzur.

"Tiada apa yang sempat saya selamatkan termasuk dokumen penting kerana badan menjadi lemah akibat terkejut dengan apa yang terjadi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dua kediaman milik Siti Fatimah dan abangnya, Che Isa Che Daud, 76, musnah hampir keseluruhan dan kejadian itu manakala, sebuah lagi rumah milik adiknya Che Maimun Che Daud, 71, terbakar lima peratus susulan kejadian terbabit.

Sementara itu, Che Maimun berkata, dia yang sedang tidur terjaga selepas mendengar jeritan daripada luar sebelum terkejut melihat api mula merebak di kediaman milik kakak dan abangnya.

"Saya menjerit meminta jiran membantu untuk membawa keluar suami, Yusuf Hamat, 81, yang terlantar akibat angin ahmar serta anak Nur Idayu, 31, yang juga orang kurang upaya (OKU).

"Saya bersyukur kerana rumah tidak terbakar sepenuhnya, namun sedih melihat kediaman kakak dan abang yang musnah keseluruhan.

Sementara, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Shapawi Stapa, berkata, seramai 12 pegawai dan anggota dikerah membantu memadamkan kebakaran dan berjaya dikawal sepenuhnya pada 4.30 petang.

Katanya, tiada mangsa yang dilaporkan cedera dan punca kebakaran masih lagi dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 8:16 PM