REXY berkata prestasi Aaron-Wooi Yik juga tidak berada di tahap terbaik. FOTO ASWADI ALIAS
REXY berkata prestasi Aaron-Wooi Yik juga tidak berada di tahap terbaik. FOTO ASWADI ALIAS
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky meluahkan rasa kecewa selepas beregu lelaki dan beregu campuran negara gagal mempamerkan prestasi memberangsangkan di saingan Jelajah Dunia Akhir 2023 di Hangzhou, China selepas terkandas di peringkat kumpulan.

Jelas Rexy, perlawanan pertama amat penting bagi menentukan perjalanan ke separuh akhir tetapi mereka gagal menggunakan kesempatan itu dan tewas perlawanan pertama kepada lawan masing-masing.

Bagi Rexy, prestasi Aaron-Wooi Yik juga tidak berada di tahap terbaik apabila corak permainan mereka yang dilihat agak perlahan sehingga menjejaskan memberi ruang kepada lawan untuk terus mengutip mata dan mencatat kemenangan.

Sementara itu, Tang Jie-Ee Wei pula bermain tanpa ada kerjasama jitu apabila kedua-duanya dilihat ingin melakukan sesuatu mengikut pilihan sendiri.

"Saya lihat Aaron-Wooi Yik main dengan bermula perlahan, permainan terlalu defensif, tiada perubahan smash yang offensive, jadi semua itu tidak kena bagi saya," katanya selepas Mesyuarat Majlis Persatuan Badminton Malaysia (BAM) , hari ini.

"Ee Wei ada cara berfikir sendiri, Tang Jie ada cara berfikir sendiri, jadi mereka main bukan sebagai beregu, tetapi ini saya lebih kritikal perlawanan pertama mereka.

"Kalau perlawanan kedua dan ketiga, prestasi mereka sangat baik kecuali semalam mereka sangat sayang sekali tak ambil peluang kerana set ketiga itu yang paling nampak Ee Wei tiada stamina dan Tang Jie tidak tahu nak main apa," katanya.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan beregu campuran itu hampir ke separuh akhir tetapi tewas kepada pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai 21-18, 18-21, 14-21 aksi ketiga Kumpulan A Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China semalam sekali gus terus menutup peluang ke pusingan seterusnya.

Kekalahan itu menyaksikan Tang Jie-Ee Wei mengekori jejak beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang turut tersingkir selepas terkandas di peringkat kumpulan dengan tiga kekalahan berturut-turut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Disember 2023 @ 6:29 PM