Azan Scan
Azan Scan
Ridzuan Abdul Rahman

 

Kuala Lumpur: Vokalis kumpulan Scan iaitu Azan dimasukkan ke Hospital Kajang, malam semalam akibat serangan jantung.  

Isterinya, Ismaliza Ismail ketika dihubungi Harian Metro mengesahkan perkara ini serta memaklumkan suaminya dikejarkan ke Hospital Kajang dan mulanya ditempatkan di zon kuning hospital terbabit. 

"Hari ini Azan dah jalani prosedur rawatan angiogram iaitu proses memasukkan kamera untuk periksa mana-mana bahagian yang tersumbat. 

"Doktor kata memang ada tersumbat. Tadi dah dimasukkan satu stent dengan belon. 

"Sekarang suami dah masuk Wad  2, katil 26, Hospital Kajang," katanya. 

Bercerita lanjut Ismaliza berkata, beberapa hari kebelakangan ini, suaminya mengalami masalah sakit dada dan berpeluh.

"Jadi semalam saya bawa dia ke Klinik Kesihatan Beranang. Di sana doktor maklumkan bacaan jantung dia tak stabil jadi doktor rujuk ke Hospital Kajang. 

"Semalam dah buat scan, x-ray dan ambil darah. Jadi dari situ doktor mengesahkan simptom yang dia alami itu serangan jantung. 

"Situasi jantungnya agak lemah semalam dan hari ini doktor rujuk pula ke Hospital Serdang untuk masukkan kamera untuk tahu bahagian mana yang tersumbat," katanya. 

Azan atau nama sebenarnya Noorhazan Rashid, 52, pernah menyertai program Gegar Vaganza musim kelapan pada 2021. 

Dia meniti populariti bersama Scan menerusi lagu popular Kau Dipaksa Aku Terpaksa. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 8:10 PM