GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Omar Ahmad


Johor Bahru : Lima lelaki dengan tiga daripadanya mempunyai 23 rekod jenayah lampau ditahan dipercayai terbabit kejadian pecah rumah di kawasan Taman Desa Tebrau di sini, semalam.

Ketua Polis daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kesemua suspek warga tempatan berusia 29 hingga 39 tahun ditahan susulan laporan polis bulan lalu.

Katanya, polis menerima laporan daripada wanita berusia 37 tahun pada 12.51 tengah malam, 19 Jun lalu, berkaitan kes pecah rumah di Bandar Baru Permas yang berlaku sehari sebelum laporan dibuat mangsa.

"Hasil siasatan, polis menahan semua suspek kira-kira 4.30 petang.

"Turut dirampas sebatang besi panjang dan tiga bilah parang dipercayai digunakan untuk melakukan kegiatan pecah rumah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Raub berkata hasil semakan mendapati suspek pertama mempunyai tiga rekod jenayah dan satu rekod dadah, suspek kedua (enam rekod jenayah, lima rekod dadah) serta suspek kelima (tiga rekod jenayah, lima rekod dadah dan satu rekod dikehendaki polis).

Katanya suspek ketiga dan keempat pula tiada rekod lampau berkaitan jenayah atau dadah.

"Ujian air kencing pula mendapati kelima-lima suspek positif dadah.

"Semua suspek kini direman enam hari bermula hari ini sehingga 10 Julai depan bagi membantu siasatan," katanya.

Kes disiasat bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara lima hingga 14 tahun dan dikenakan denda serta dihukum sebat bagi kesalahan kedua.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian jenayah katanya, boleh menghubungi talian hotline IPD Johor Bahru Selatan 07-2182323.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 8:35 PM