TANG Jie (kanan) dan Ee Wei akan beraksi di saingan Seluruh England. FOTO ASWADI ALIAS
TANG Jie (kanan) dan Ee Wei akan beraksi di saingan Seluruh England. FOTO ASWADI ALIAS
Aida Adilah Mat

aida_adilah2hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Menjelang aksi Seluruh England yang akan bermula Selasa ini, sesuatu perlu dilakukan oleh beregu campuran negara, Cheng Tang Jie-Toh Ee Wei kurang lima bulan menjelang temasya Olimpik Paris Ogos ini.

Aksi mereka bagaikan tak kena apabila sekali lagi tersingkir di pusingan awal apabila tewas di pusingan kedua Terbuka Perancis, semalam.

Mereka ditunjukkan jalan keluar oleh pilihan keempat kejohanan dari China, Feng Yan Zhan-Huang Dong Ping 18-21, 14-21 pada aksi yang berlangsung di Arena Porte de la Chapelle di Paris, lapangan yang akan menjadi saingan di temasya Olimpik nanti.

Ee Wei mengakui mereka melakukan banyak kesilapan yang menjadi punca kepada kekalahan kepada pasangan lawan.

"Kami buat banyak kesalahan sebab itu kami tewas dalam perlawanan ini.

"Kami seharusnya kena lebih banyak sabar dan yakin dengan diri sendiri," kata Ee Wei kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas tamat perlawanan, semalam.

Undian nyata tidak menyebelahi mereka apabila akan berdepan laluan getir di Seluruh England menentang juara dunia 2021 dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai di pusingan pertama.

Jurulatih negara, Nova Widianto pastinya perlu mencari resipi terbaik untuk memastikan pemainnya bangkit melakar kemenangan.

Berdasarkan rekod nyata memihak kepada pasangan Thailand itu dengan Tang Jie-Ee Wei hanya menang sekali ke atas pasangan itu dalam enam pertemuan sebelum ini.

Dua pertemuan terakhir antara kedua-dua pasangan itu yang berlangsung tahun ini iaitu di pusingan kedua Terbuka India dan final Masters Thailand turut memihak kepada Dechapol-Sapsiree.

Satu-satunya kemenangan yang dicatat Tang Jie-Ee Wei adalah ketika suku akhir Terbuka Artik di Finland pada Oktober tahun lalu.

Pada edisi Seluruh England tahun lalu, Tang Jie-Ee Wei terkandas di pusingan pertama selepas tewas di tangan pasangan Jepun, Yuki Kaneko-Misaki Matsutomo.

Tang Jie-Ee Wei adalah satu-satunya wakil Malaysia yang berjaya melangkah ke final saingan Jelajah Dunia BWF musim ini selepas muncul naib juara di Masters Thailand, bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2024 @ 4:01 PM