LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Ruwaida Md Zain


Klang: Polis masih belum dapat mengenalpasti identiti mayat wanita dewasa yang ditemukan dalam keadaan disimen di kolah mandi rumah di Kampung Pendamar, di sini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pakar forensik juga tidak dapat memastikan jangka masa kematian mangsa.

Menurutnya, ini berikutan proses pereputan mayat menjadi lambat bagi mayat yang berada dalam persekitaran seperti mana ditemui.

"Hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Shah Alam hari ini mendapati, umur si mati dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun.

"Siasatan mendapati punca kematian mangsa adalah tekanan pada leher (compression to the neck).

"Setakat ini identiti mangsa masih belum dikenalpasti" katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun katanya siasatan masih berjalan, setakat ini 10 individu sudah diambil keterangan.

"Sehingga kini, pegawai penyiasat sudah merakam percakapan 10 orang saksi dan siasatan dijalankan bagi mengenalpasti individu yang terbabit dan boleh membantu siasatan.

"Bantuan kedutaan dan Interpol juga dipohon bagi mengesan dua suspek lelaki warga asing yang dikenalpasti iaitu Ranjit Singh dan Manjeet Singh.

"Semalam, seorang lelaki warga asing berumur 53 tahun ditahan reman selama tujuh hari sehingga 11 Disember ini," katanya.

Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini supaya menyalurkan terus kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana Balai Polis berhampiran.

Media sebelum ini melaporkan penemuan mayat wanita dewasa disimen di kolah mandi sebuah rumah selepas pemilik rumah membuat laporan polis.

Berita berkaitan

Mayat seperti gumpalan tanah liat, berbau

Wanita disimen mungkin dibunuh lebih setahun - Polis

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2023 @ 7:22 PM