SUKARELAWAN Reiner Spankuch. FOTO bild.de
SUKARELAWAN Reiner Spankuch. FOTO bild.de
Reuters

Leipzig, Jerman: Jika Luka Modric dan Cristiano Ronaldo mencatat antara pemain tertua di saingan Euro 2024 ini, sebenarnya ada individu jauh lebih tua dalam edisi kali ini.

Namun ia bukanlah pemain tetapi adalah sukarelawan yang mencuri perhatian ramai pada kempen di Jerman ini.

Dia adalah Reiner Spankuch yang berusia 89 tahun yang bertugas sebagai pemandu arah kepada penyokong yang mencari tempat duduk di Stadium Leipzig.

"Saya mula menjadi sukarelawan sejak 2006, pada Piala Dunia di Leipzig. Apabila saya mencapai usia persaraan, saya mahukan pekerjaan.

"Saya mahu kekal sibuk, bergerak ke sana sini dan berada dalam kalangan komuniti. Itulah yang membawa saya hingga ke hari ini," kata Spankuch.

Selain menjadi sukarelawan untuk perlawanan bola sepak, Spankuch turut bertugas untuk beberapa acara sukan lain seperti pingpong hingga membawanya ke Las Vegas.

"Saya bekerja pada kejohanan ini hampir setiap tahun sejak 2006, enam hingga tujuh kejohanan setahun. Dan saya masih berada di RB Leipzig, menjadi sukarelawan di bahagian pengurusan pelawat dan saya menjadi peneman bagi perjalanan bas ke perlawanan di gelanggang lawan.

"Apa yang paling penting adalah hubungan dengan orang ramai, peminat. Itulah yang menguatkan semangat dan saya mengharungi pengalaman menarik," katanya.

Dia yang bakal memasuki usia 90 tahun pada Ogos ini akui saingan Euro kali ini cukup meraih berbanding Piala Dunia 2006 lalu.

"Suasana lebih bagus berbanding pada 2006. Apa yang pasukan Belanda lakukan di sini, begitu juga Perancis. Ia benar-benar 'mood' yang menggembirakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2024 @ 1:27 AM