PENGENDALI Romania, Edward Iordanescu mengawasi sesi latihan pasukannya. FOTO Agensi
PENGENDALI Romania, Edward Iordanescu mengawasi sesi latihan pasukannya. FOTO Agensi
Reuters

Frankfurt, Jerman: Pengendali Romania, Edward Iordanescu tidak mahu anak buahnya turun menentang Slovakia untuk seri pada aksi terakhir Kumpulan E biarpun ia sudah cukup menghantar kedua-dua pasukan ke peringkat 16 terbaik Euro kali ini.

Belgium dan Ukraine yang turut beraksi dalam satu lagi aksi Kumpulan E juga masih berpeluang dengan keempat-empat pasukan terikat jumlah tiga mata selepas mengharungi dua aksi.

Namun Romania tetap akan turun dengan misi kemenangan bagi menjamin tempat ke peringkat kalah mati.

"Kami tidak boleh mendengar pandangan luar yang menyatakan seri sudah memadai buat kami. Kami hanya mahukan kemenangan dan akan beri sepenuhnya untuk aksi itu nanti.

"Kami bermain untuk layak dan kami mahu menamatkan saingan terlebih dahulu. Jika kami memenangi kumpulan, sekurang-kurangnya secara teori, anda mempunyai kelebihan tertentu dari segi hari rehat tambahan dan lawan (yang lebih lemah).

"Tetapi perkara yang paling penting adalah untuk layak, ini adalah objektif utama kami. Ini adalah detik bersejarah untuk pasukan kebangsaan, detik yang istimewa dan detik terhebat dalam karier kami," katanya.

Romania hadir ke Jerman dengan motivasi tinggi dan ia terbukti apabila mereka berjaya membenam Ukraine 3-0 dalam aksi pembukaan, sebelum tumbang 2-0 di tangan Belgium.

Jelas Iordanescu, beliau tidak mahu pemainnya mengambil mudah tentangan Slovakia.

"Slovakia sebuah pasukan yang bergerak sebagai satu unit. Kami perlu bermain dengan cara kami dan tidak terikut-ikut dengan cara lawan bermain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2024 @ 1:10 AM