Lokasi  penemuan mayat wanita yang ditanam dan disimen di sebuah rumah di  Kampung Pendamar, Pelabuhan Klang. FOTO  FAIZ ANUAR
Lokasi penemuan mayat wanita yang ditanam dan disimen di sebuah rumah di Kampung Pendamar, Pelabuhan Klang. FOTO FAIZ ANUAR
Ruwaida Md Zain


Klang: Penemuan mayat wanita dalam keadaan ditanam dan disimen di bilik air sebuah rumah dekat Pandamaran, di sini, amat mengejutkan penduduk.

Menurut mereka, selama ini suasana di kawasan perumahan itu tenang dengan kejiranan harmoni meskipun terdapat warga asing.

Malah kawasan itu bukanlah seperti beberapa tempat lain di sekitar Klang yang dilabelkan sebagai 'crime hotspot' .

Namun apabila melihat kehadiran polis dan bomba pada tengah malam 3 Disember lalu, ia amat mengejutkan mereka kerana perkara itu di luar dugaan.

Seorang jiran yang tinggal di situ sejak 2006 mendakwa, rumah berkenaan kerap bertukar penyewa, ada warga tempatan dan warga asing.

"Kami di sini memang baik-baik saja, ada Melayu, Cina, India, warga asing juga menyewa di sini seperti Pakistan, Bangladesh dan Indonesia.

"Mereka (warga asing yang menyewa) juga tidak pernah buat masalah malah ada yang membantu.

"Terkejut juga (apabila mengetahui penemuan itu) sebab selama ini memang tidak masalah pun di sini," katanya yang ditemui di sini hari ini.

Tinjauan mendapati suasana sekitar kawasan rumah sewa berkenaan lengang dan hanya sesekali kelihatan penghuni keluar masuk termasuk mengambil anak pulang dari sekolah.

Terdapat juga beberapa anggota polis di sekitar lokasi jenayah malah mereka dilihat turut mengunci rumah sewa berkenaan.

Ketika tinjauan sesekali bau busuk mayat dari rumah sewa berkenaan menusuk ke hidung.

Dalam pada itu, terdapat dakwaan mangsa yang disimen itu berkemungkinan pernah dilihat di rumah itu antara 2020 hingga 2021.

Bagaimanapun, rata-rata jiran enggan ditemubual selain masuk ke rumah sebaik ternampak pengamal media yang membuat tinjauan.

Semalam, media melaporkan polis mengesahkan penemuan mayat wanita dewasa disimen di kolah mandi rumah sewa berkenaan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, setakat ini polis sudah menahan seorang lelaki warga asing berumur 53 tahun dan mengenalpasti dua lagi suspek yang masih bebas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2023 @ 3:34 PM