Hafidzul Hilmi Mohd Noor


JENAZAH usahawan tekstil dari Bandung, Indonesia, Ujang Nuryanto, 37, akan dibawa pulang ke negaranya Rabu ini selepas selesai proses dokumentasi.

Peguam syarikat tekstil berkenaan, Hermawan berkata, pihaknya dan keluarga sudah dimaklumkan berhubung perkara itu oleh Kedutaan Besar Indonesia.

“Kedutaan akan menguruskan jenazah selepas selesai proses dokumentasi dan jenazah disemadikan, baru saya dan ahli keluarga akan ke Malaysia.

“Tujuan ke Malaysia adalah untuk menuntut barangan milik arwah seperti baju, kain dan peralatan lain,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Hermawan berkata, satu lagi mayat yang dikenalpasti sebagai Ai Munawaroh, 30 juga akan diuruskan dan dibawa pulang selewat-lewatnya minggu ini.

“Kedutaan Indonesia juga sudah menghantar nota diplomasi kepada Malaysia supaya menyegerakan perkara ini,” katanya.

Pada 1 Mac lalu, polis melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan dua mayat tidak sempurna yang ditemui di Bandar Desa Coalfield, Sungai Buloh, 26 Januari lalu sebagai usahawan tekstil dari Bandung, Indonesia, Ujang Nuryanto.

Sementara, satu lagi mayat disahkan rakannya Ai Munawarroh selepas tiga minggu ujian DNA dilakukan.

Pada 26 Januari lalu, mayat dua individu tanpa identiti ditemui berhampiran sungai di kawasan kelapa sawit.

Selain itu, satu plastik dipercayai mengandungi kepala, tangan dan kaki yang turut ditemui di lokasi kejadian oleh orang awam yang melalui kawasan berkenaan, jam 2.30 petang.

Hasil pemeriksaan polis mendapati mayat seorang lelaki dan wanita yang ditemui di lokasi kejadian.

Susulan itu, dua lelaki warga asing ditahan bagi membantu siasatan kes penemuan dua mayat berkenaan.

Berita berkaitan

Kes dua mayat tanpa anggota: Keluarga masih tunggu DNA

Polis tunggu keputusan DNA mangsa bunuh

2 suspek direman lima hari lagi

Dua lelaki warga asing ditahan

'Operasi cari anggota badan mangsa bunuh dihentikan'

'[UPDATE] Cari kaki, tangan dua mayat 'kudung''

'Mayat lelaki, wanita tanpa anggota badan'

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2019 @ 6:24 PM