LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Polis tidak menolak kemungkinan mayat wanita yang ditemukan disimen di rumah di Pandamaran, Klang dibunuh lebih setahun lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ini berikutan dua suspek lelaki yang sedang diburu adalah individu yang disyaki menyimen kolah mandi di rumah terbabit.

"Ya (kemungkinan dibunuh lebih setahun). Bagaimanapun semua yang berkaitan dengan kes ini masih dalam siasatan polis.

"Dua suspek yang diburu ini menyewa (rumah sewa berkenaan) dari tahun 2019 sehingga tahun 2021.

"Mereka ini (suspek) yang dsyaki simenkan kolah mandi (di rumah sewa itu)," katanya ketika dihubungi hari ini.

Hussien dalam kenyataan semalam mendedahkan polis sedang mengesan dua suspek lelaki warga asing yang dikenali sebagai Ranjit Singh dan Manjeet Singh kerana dipercayai terbabit dalam kes berkenaan.

Dalam pada itu katanya, identiti wanita berkenaan masih dalam siasatan memandangkan proses bedah siasat akan dijalankan esok di Hospital Shah Alam.

Setakat ini katanya, polis sudah merakamkan keterangan tiga individu termasuk pemilik rumah sewa.

Semalam seluruh negara digemparkan dengan penemuan mayat wanita dewasa yang ditemukan disimen di kolah mandi rumah sewa berkenaan.

Berita berkaitan:

Mayat seperti gumpalan tanah liat, berbau

Mayat wanita disimen, lelaki warga asing diberkas, 2 diburu

Mayat dalam simen

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2023 @ 11:16 AM