LAKARAN wajah mangsa. FOTO ihsan Polis
LAKARAN wajah mangsa. FOTO ihsan Polis
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis sudah mengenal pasti identiti wanita yang mayatnya ditemukan disimen di rumah di Pandamaran, Klang, Selangor, 4 Disember lalu.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, mangsa adalah wanita warga India berusia 30-an dengan ketinggian dianggarkan sekitar 160 sentimeter (sm).

"Mangsa yang juga teman wanita kepada suspek tinggal di rumah sewa berkenaan. Pihak polis sedang mendapatkan bantuan kedutaan India untuk memperoleh maklumat dan menghubungi keluarganya.

"Pihak polis juga menyediakan lakaran wajah mangsa untuk dikongsi dengan media," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas mengenai identiti suspek yang juga warga India itu, Hussein berkata, pihaknya sudah mendapat maklumat mengenai perkara itu.

"Waran tangkap terhadap suspek itu akan diperolehi. Kita juga akan minta bantuan kedutaan India serta pihak polis India bagi mengesan dan menahan lelaki berkenaan.

"Dengan adanya dapatan siasatan ini, pihak polis menganggap kes ini sudah selesai dan dalam proses untuk melengkapkan kertas siasatan," katanya.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu menghubungi pegawai penyiasat kes atau mana-mana balai polis berhampiran.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan penemuan mayat wanita yang ditanam dan disimen di sebuah rumah di Pandamaran, Klang, pada 4 Disember lalu.

Difahamkan kediaman terbabit sebelum itu disewa dua lelaki warga asing sebelum mereka memaklumkan kepada pemilik rumah lelaki berusia 66 tahun ingin pindah keluar pada Oktober lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2023 @ 3:14 PM