Norzamira Che Noh


Klang: Seorang lelaki warga asing direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat wanita yang ditanam dan disimen dalam kolah air di sebuah rumah sewa di Kampung Pendamar, Pandamaran, dekat sini, kelmarin.

Perintah reman sehingga Isnin depan itu dibenarkan Majistret Amirul Asyraf Abd Rasid selepas permohonan dikemukan polis di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Terdahulu, suspek berusia 53 tahun itu tiba di pekarangan mahkamah pada 9.47 pagi dengan diiringi anggota polis.

Tempoh reman itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Semalam, media melaporkan siasatan dijalankan polis selepas menerima laporan daripada pemilik rumah itu berkaitan terdapat mayat di kolah bilik air rumah sewa tersebut.

Mayat wanita itu ditemukan selepas anggota bomba mengambil masa lebih dua jam untuk memecahkan simen kolah air sebelum berjaya mengeluarkan mangsa.

Polis setakat ini menahan seorang lelaki dan sedang mengesan dua lagi suspek bagi membantu siasatan.

Dua individu itu masing-masing dikenali sebagai Ranjit Singh dan Mandeep Singh yang dikenal pasti menyewa rumah tersebut dan dipercayai terbabit dalam kes berkenaan.

Mayat wanita itu dihantar ke Hospital Shah Alam bagi proses bedah siasat yang akan dijalankan esok.

Berita berkaitan

Mayat seperti gumpalan tanah liat, berbau

Wanita disimen mungkin dibunuh lebih setahun - Polis

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2023 @ 11:42 AM