Dr Zaliha mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Task Force Pengurusan Pokok Berisiko hari ini. FOTO Ihsan FB Dr Zaliha Mustafa
Dr Zaliha mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Task Force Pengurusan Pokok Berisiko hari ini. FOTO Ihsan FB Dr Zaliha Mustafa
BERNAMA

Kuala Lumpur: Proses penebangan 90 pokok berisiko tinggi yang disyorkan untuk ditebang di sekitar Kuala Lumpur sedang dijalankan dan dijangka selesai seawal Julai ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

Dalam kenyataan menerusi laman Facebook hari ini, beliau berkata sebanyak 240 pokok turut dalam proses penilaian tahap risiko dan proses berkenaan dijangka selesai awal Ogos depan.

Menurut Dr Zaliha beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Task Force Pengurusan Pokok Berisiko hari ini bagi mewujudkan kolaborasi dalam penyelidikan, pengetahuan, teknologi dan kepakaran dalam bidang pengurusan pokok teduhan di bandar raya ini.

"Mesyuarat membabitkan wakil dari Universiti Putra Malaysia, Persatuan Arboris Malaysia, Persatuan Arkitek Landskap Malaysia, Jabatan Wilayah Persekutuan, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Jabatan Landskap Negara, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Malaysia.

"Keanggotaan task force ini turut akan diperluas kepada badan bukan kerajaan berkaitan alam sekitar," katanya.

Dr Zaliha berkata task force itu akan meneroka potensi untuk menubuhkan satu tabung dana amanah kawasan hijau bagi menggalakkan perkongsian awam-swasta melalui pendekatan penglibatan secara menyeluruh dalam meningkatkan kompetensi landskap hijau di samping mengekalkan peratusan kawasan hijau di Kuala Lumpur sebagaimana disasarkan oleh Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040.

"Saya juga telah mengarahkan task force untuk meneliti pelan penggantian pokok dengan memberi fokus kepada Program Penanaman Satu Juta Pokok di Kuala Lumpur dan memberi perhatian kepada faktor-faktor seperti spesies pokok, ruang penanaman pokok, kedalaman akar dan lain-lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2024 @ 12:28 AM