LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Norzamira Che Noh


Klang: Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mengambil masa lebih dua jam untuk memecahkan kolah sebelum menemui mayat wanita bersimen di sebuah rumah di Pandamaran hari ini.

JBPM Selangor dalam kenyataan memaklumkan pihaknya mendapat panggilan pada 11.39 malam untuk mengeluarkan mayat yang berada di dalam kolah bilik mandi.

"Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang melakukan kerja-kerja pemecahan simen menggunakan peralatan 'paratech tool' dan mesin hacker.

"Ketika kerja-kerja pemecahan simen dilakukan sekitar 70 peratus, didapati satu mayat wanita dewasa berada dalam kolah berkenaan.

"Mayat itu kemudian dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak polis," katanya.

Terdahulu, tinjauan yang dilakukan di kawasan rumah berkenaan mendapati pintu pagarnya tertutup namun pintu utama rumah berkenaan dalam keadaan terbuka.

Seorang jiran mangsa yang enggan dikenali berkata, dia terkejut melihat kawasan luar kediamannya dipenuhi anggota polis kira-kira jam 9.30 malam tadi.

"Sekitar jam 11 malam, pasukan bomba pula tiba, baru saya tahu ada mayat di rumah berkenaan.

"Sebelum ini, rumah itu pernah disewa kepada warga asing sebelum ada di antara mereka pulang ke negara asal dan selepas itu disewa kepada pasangan suami isteri warga tempatan.

"Saya terkejut melihat anggota bomba mengangkat mayat yang dilihat seperti gumpalan tanah liat dan memang ada bau," kata lelaki berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, polis menerima laporan daripada seorang lelaki dipercayai pemilik rumah berkenaan yang mengesyaki sesuatu selepas kolah air di rumahnya disimen tanpa pengetahuannya.

"Pengadu memaklumkan dua penyewa lelaki keluar daripada rumah berkenaan pada 10 Oktober lalu.

"Pemilik ke rumah itu untuk memeriksa serta membersihkan sebelum disewakan kepada orang lain dan mendapati kolam air dalam bilik air sudah disimen.

"Selepas tidak berpuas hati dengan jawapan penyewa berkenaan, pengadu membuat laporan polis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2023 @ 8:59 PM