TORRES akan dibantu Shukor yang dipilih sebagai penolong jurulatih. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
TORRES akan dibantu Shukor yang dipilih sebagai penolong jurulatih. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Teka teki pengendali skuad bawah 23 (B-23) tahun negara akhirnya terjawab apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melantik bekas ketua pencari bakat bagi FC Barcelona, Juan Torres bagi menggantikan E Elavarasan yang meletak jawatan sebelum ini.

Torres, 43, yang berasal dari Sepanyol sebelum ini adalah penolong jurulatih kepada Elavarasan dan pemilihannya dianggap tepat oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram.

Katanya, badan induk bola sepak negara itu yakin dengan kemampuan yang dimiliki Torres untuk mengemudi skuad Harimau Muda menghadapi Piala Asia B-23 di Qatar, April depan.

"FAM yakin dan percaya, dengan latar belakang pengalaman yang dimiliki serta beliau setahun berada dalam sistem skuad B-23 kebangsaan, Juan Torres mampu mengemudi skuad ini," katanya pada sidang media pengumuman hari ini.

Ujar Sivasundaram lagi, pihaknya tidak meletakkan sasaran khusus buat Torres namun perbincangan lanjut akan diadakan selepas ini untuk melihat peluang pasukan di kejohanan akan datang terutamanya Piala Asia tahun depan.

"Setakat ini tiada KPI diletakkan kepada Juan Torres dan bermulanya tugas beliau, kita akan lihat perancangan yang boleh dilakukan," katanya.

Dalam pada itu, Sivasundaram mengumumkan pelantikan bekas kapten skuad kebangsaan, Shukor Adan sebagai penolong jurulatih B-23.

Menurutnya, pelantikan dibuat selepas FAM turut menemuduga beberapa bekas pemain termasuk Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Nidzam Jamil dan Rusdi Suparman.

"Dengan kekosongan jawatan penolong ketua jurulatih B-23 kebangsaan yang diisi Juan Torres sebelum ini, jawatan itu akan diisi oleh seorang jurulatih tempatan.

"FAM sudah memanggil beberapa jurulatih muda tempatan untuk sesi temu duga pada September lalu.

"Selepas membuat penelitian dan penilaian menyeluruh, FAM membuat keputusan untuk memilih dan melantik bekas kapten skuad kebangsaan, Shukor Adan sebagai penolong ketua jurulatih B-23," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2023 @ 2:35 PM