SIVASUNDARAM (berdiri tengah) menyaksikan MoU ditandatangani Dr Nazirah (duduk kiri) dan Penolong Setiausaha Agung FAM, Rosman Mohd Ibrahim (duduk, kanan) di Bangunan Plaza PPUM Kuala Lumpur, hari ini. FOTO BERNAMA
SIVASUNDARAM (berdiri tengah) menyaksikan MoU ditandatangani Dr Nazirah (duduk kiri) dan Penolong Setiausaha Agung FAM, Rosman Mohd Ibrahim (duduk, kanan) di Bangunan Plaza PPUM Kuala Lumpur, hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Petaling Jaya: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil pendekatan mengunci mulut berhubung calon jurulatih baharu ketua jurulatih skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan.

Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram berkata, sebarang pengumuman lanjut mengenai calon pengganti E Elavarasan yang melepaskan jawatannya sebagai ketua jurulatih Harimau Muda itu akan dilakukan Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman.

"Sabar, pengumuman (pengganti Elavarasan) akan dilakukan Setiausaha Agung FAM dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani persefahaman (MoU) antara Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan FAM di sini hari ini.

Isnin lalu, Elavarasan secara rasminya melepaskan jawatannya sebagai ketua jurulatih skuad B-23 kebangsaan selepas mengadakan perbincangan bersama Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkaitan hala tuju pasukan Harimau Muda selepas aksi pusingan kelayakan Piala Asia B-23 2024.

Noor Azman dalam satu kenyataan memaklumkan jurulatih berusia 61 tahun itu bersetuju kembali fokus kepada tanggungjawab asalnya sebagai penolong ketua jurulatih kebangsaan bagi membantu Kim Pan-gon dalam skuad senior, sekali gus memberi ruang kepada individu lain untuk menggalas tugas selaku ketua jurulatih B-23 kebangsaan ke Piala Asia B-23 2024 di Qatar, April depan.

Pada 1 Sept tahun lalu, Elavarasan diumum sebagai ketua jurulatih B-23 kebangsaan baharu bagi menggantikan Brad Maloney dan pada masa sama masih memegang jawatan pembantu Pan-gon dalam skuad senior negara.

FAM pada ketika itu membuat keputusan melantik Elavarasan bagi mengemudi skuad B-23 kebangsaan kerana beliau berada dalam sistem kejurulatihan Pan-gon, sekali gus memudahkan proses kesinambungan skuad senior dan skuad B-23 negara.

Di bawah kendalian Elavarasan, skuad B-23 kebangsaan menjuarai Piala Merlion 2023 di Singapura pada Mac, diikuti mara ke separuh akhir Kejuaraan B-23 AFF 2023 di Rayong, Thailand bulan lalu dan layak ke Piala Asia B-23 2024 selepas melepasi pusingan kelayakan di Chonburi, Thailand, baru-baru ini.

Sementara itu, Sivasundaram menghargai kerjasama antara FAM dan PPUM menerusi perjanjian MOU selama lima tahun yang dapat memberi manfaat kepada pemain kebangsaan mendapatkan rawatan terbaik di pusat perubatan itu.

Pengarah PPUM, Prof Dr Nazirah Hassan yang menyambut baik MoU dengan badan induk bola sepak negara itu pula optimis kerjasama strategik kedua-dua pihak dapat membuka ruang buat pihaknya memberi kesedaran dalam program pemulihan kecederaan selain meneroka lebih banyak lagi penyelidikan perubatan berkaitan sukan.

"Untuk memberi perkhidmatan yang cemerlang, kita perlu menitikberatkan penyelidikan bagi memastikan PPUM sentiasa menjadi barisan hadapan dalam bidang perubatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 September 2023 @ 8:05 PM