Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Penyanyi, Nizam Laksamana menyeru semua pihak agar menyambut dan meraikan Aidiladha sama meriah seperti Aidilfitri. 

Nizam berkata, walaupun berdepan kesukaran ujian hidup atau cabaran lain, kedatangan Aidiladha perlu diraikan kita semua. 

"Aidiladha tetap disambut seperti biasa walaupun dalam keadaan ekonomi yang agak mencabar, barang mahal dan beli apa pun serba-serbi mahal. 

"Saya sekeluarga pulang ke kampung isteri di Rembau, Negeri Sembilan dan tahun ini ambil bahagian untuk korban atas nama isteri saya, Salwati Zulkifli," katanya. 

Salwati menghidap kanser payudara pada 2021 serta menjalani rawatan kemoterapi dan kini perlu menjalani pemeriksaan secara berkala untuk penyakitnya.

"Tujuan saya berbuat demikian (buat korban) kerana ingin sekiranya ada kelebihan korban itu mudah-mudahan Allah terima dan sembuhkan sepenuhnya isteri saya. Itu pengorbanan yang saya lakukan untuk tahun ini.

"Dan juga, saya bawa keluarga balik kampung untuk merasai kemeriahan itu dengan bersama ahli keluarga yang lain antaranya memasak dan sebagainya. 

"Saya akan masak untuk keluarga. Kalau pun kita dalam kesukaran, sambutan raya tetap kena ada. Tujuannya supaya ada kemeriahan pada isteri," katanya. 

Penyanyi lagu Gugurnya Bunga Cinta ini mahukan isterinya gembira meraikan Aidiladha sama seperti orang lain. 

"Kegembiraan itu penting. Kita harus menggembirakan diri kita, pasangan kita dan anak-anak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 7:21 PM